ADAMAS mahu banteras pembekal bahan terlarang

Oleh Penulis Jemputan 23 Oktober 2018 54
ADAMAS mahu banteras pembekal bahan terlarang
Pengarah Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz, mengumumkan perang terhadap pembekal bahan terlarang apabila dua atlet terbaru Sukan Malaysia (Sukma) Perak dikesan positif doping, sekali gus temasya itu mencatatkan empat kes secara keseluruhan.

Atlet angkat berat Pahang dikesan positif dua bahan terlarang, iaitu methylhexaneamine dan dimethylbutylamine.

Apa yang lebih mengecewakan, ini adalah kesalahan keduanya selepas positif steroid pada 2016, sekali gus berdepan risiko digantung seumur hidup.

Atlet judo Perak pula dikesan positif bahan jenis triamcinolone acetonide, juga sejenis bahan perangsang.

Ini menjadikan Sukma Perak mencatatkan empat kes positif doping, namun ADAMAS masih menunggu keputusan empat lagi sampel air kencing yang sedang menjalani ujian susulan di makmal ujian doping di New Delhi, India.

Apa yang menjadi persoalan, siapa pembekal bahan terlarang terhadap atlet ini kerana mereka berusia bawah 21 tahun?

"Kami telah mengesan bahawa terdapat unsur-unsur baru yang masuk ke dalam sukan angkat berat. Kami tidak boleh menghukum atlet sahaja dalam hal ini kerana ia melibatkan pembekal bahan terlarang tersebut," kata Dr. Ramlan.

Lebih mengejutkan, 13 kes positif dicatatkan setakat tahun ini -- lapan daripadanya menerusi angkat berat.

Malah, salah seorang atlet terbabit ialah perenang berusia 14 tahun.

"Jika atlet memberikan maklumat yang betul, ia akan membantu kami untuk menangani masalah ini, sekali gus mengurangkan penggantungannya."

Sementara itu, kes positif terbaru ini menambah tekanan terhadap atlet senior kebangsaan.

Angkat berat lebih terkesan kerana boleh menyebabkan mereka digugurkan daripada Program Majlis Sukan Negara (MSN) sementara bagi judo, ia menyukarkan usaha mendapatkan penaja untuk menyertai kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Jika sukan angkat berat disenaraihitamkan oleh MSN, ia bagaikan menutup periuk nasi atlet yang telah lama berada dalam bidang ini," kata atlet angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Ahmad Izhar.

"Judo bukan berada dalam sukan teras dan menggunakan langkah sendiri untuk kekal bersaing. Isu doping ini akan memburukan lagi nama sukan judo Malaysia," kata atlet judo negara, Chong Wei Fu.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen