Impian jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, mempertahankan pingat emas acara pecut dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2018 tidak kesampaian apabila kecundang di tangan pelumba Jepun, Kazunari Watanbe, di pentas akhir di Velodrom Nasional, sebentar tadi.

Azizul sebelum itu terpaksa membuat perhitungan dengan pelumba Kazakhstan, Pavel Vorchel, sebelum mengesahkan kemaraan ke pentas akhir

Kayuhan penuh strategi menyaksikan Azizul hanya tewas tipis kepada Kazunari dalam dua pusingan yang dijalankan, sekali gus menyaksikan pelumba negara itu sekadar berpuas hati dengan perak.

Bagaimanapun, Azizul menegaskan dirinya masih boleh berbangga dengan pencapaiannya dalam kejohanan kali ini, terutama memecahkan rekod Asia acara pecut dengan melakar 9.774 saat ketika peringkat kelayakan.

"Dalam aksi final tadi, segalanya baik, cuma pelumba Jepun menggunakan gear lebih besar.

"Kami tidak dapat menyainginya buat masa sekarang kerana tidak mahu mengganggu proses sebelum Sukan Komanwel dan Sukan Asia," katanya.

Kedukaan kem negara sedikit terubat apabila pelumba pelapis kebangsaan, Zulhelmi Zainal, meraih emas dalam acara pecut individu remaja apabila menumpaskan Maxim Gridchin dari Kazakhstan untuk membolehkannya memungut emas pertama peribadi dalam ACC.