Pelumba elit negara, Mohd Azizulhasni Awang, terlepas emas acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2020 selepas tewas kepada pelumba Jepun, Yuta Wakimoto, di Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jingcheon, Korea Selatan, hari ini.

Pelumba berusia 31 tahun itu terpaksa hanya berpuas hati dengan pingat perak selepas ketinggalan 0.061 saat di belakang jaguh keirin Asia itu.

Seorang lagi wakil Jepun, Yudai Nitta, meraih pingat gangsa, diikuti di tempat keempat oleh pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, Jai Angsuthasawit dari Thailand.

Terdahulu, Azizulhasni menempah slot ke final selepas menduduki tempat kedua pusingan kedua selepas mara daripada pusingan repechage.

Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, menduduki tempat keenam.

-- BERNAMA