Pelumba basikal trek para negara, Shukor Farhan Suliman, menganggap Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2018 sebagai peluang terbaik untuknya melihat kemampuan pesaing di rantau ini, khususnya bagi menghadapi Sukan Para Asia di Indonesia, September depan.

Semalam, Farhan meraih pingat perak acara 3 kilometer ujian masa selepas diatasi pelumba Jepun, Shota Kawamoto, yang juga merupakan pemenang gangsa Kejohanan Berbasikal Para Dunia di Los Angeles, tahun lalu.

Baginya, pengalaman bersaing dengan pelumba seperti Kawamoto banyak membantu dirinya mengenal pasti kelemahan dan juga teknik yang boleh diperbaiki.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian kali ini kerana dapat memecahkan rekod peribadi. Saya menyasarkan untuk mencatat masa bawah empat minit dan dapat melakukannya.

"Untuk Sukan Para Asia, kami sudah dapat melihat kedudukan kami dan usaha perlu dipertingkatkan untuk berdepan saingan Jepun, Iran dan China," katanya.

Satu lagi acara menanti Farhan dalam kejohanan kali ini adalah saingan pecut esok, namun dia hanya meletakkan sasaran awal untuk meraih kedudukan podium kerana acara itu mempertaruhkan beberapa lagi wakil negara yang turut berpotensi memburu pingat.

"Sebenarnya, itu adalah acara kegemaran rakan sepasukan saya dan ia memberikan kelebihan kepada mereka tetapi saya tetap akan berusaha untuk mendapatkan tempat di podium," tambahnya.