Seramai 828 atlet bakal berentap dalam kejohanan Sukan Sarawak (Suksar) yang akan membuka tirai dari 14 hingga 17 Disember depan.

Temasya sukan yang dihidupkan semula selepas hampir 29 tahun ini akan berlangsung di 14 gelanggang, dengan Kuching dan Samarahan menjadi tuan rumah bersama.

Seakan-akan mengulangi Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak pada 2016, temasya ini bertujuan mencungkil bakat yang akan membawa cabaran Sarawak pada Sukma 2018 di Ipoh.

Menurut kenyataan Sekretariat Suksar, acara boling padang akan dilangsungkan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) manakala aksi badminton berlaku di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Kota Samarahan.

"Acara berbasikal pula akan diadakan di FAC Matang dan Bukit Siol sementara bola baling di UNIMAS.

"Boling padang di Arena Boling Padang Sarawak sementara judo di Stadium Perpaduan," demikian seperti dipetik dalam kenyataan itu.

Turut dilangsungkan acara karate di Sekolah Tunku Putra manakala acara memanah di Lapang Sasar Memanah Petra Jaya.

Acara Muay pula akan berlaku di Pusat Beli-belah Summer manakala olahraga di Stadium Sarawak. Petanque dilaksanakan di Arena Petanque Sarawak, sementelah ragbi tujuh sebelah dianjurkan di Padang Ragbi Song Kheng Hai di Padungan.

Pusat Akuatik Pandelela Rinong akan menyaksikan cabaran renang manakala sepak takraw wanita akan dilangsungkan di Dewan Sepak Takraw PSS, Petra Jaya.

Turut dilangsungkan empat acara paralimpik, melibatkan acara memanah, olahraga, renang dan powerlifting di Stadium MBKS.

Penyertaan dibahagikan kepada empat zon iaitu Zon Selatan (Kuching, Samarahan dan Serian), Zon Tengah (Sibu, Kapit dan Mukah), Zon Utara (Miri, Bintulu dan Limbang), Zon Barat (Sarikei, Betong dan Sri Aman).

Majlis perasmian kejohanan dijadualkan pada 14 Disember manakala 17 Disember menjadi tarikh penutupan, yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.