Tiada kelibat Pandelela Rinong Pamg, namun pasangannya ketika memenangi pingat perak dalam Sukan Olimpik Rio, Cheong Jun Hoong, akan membawa bendera Malaysia untuk beraksi dalam temasya peringkat antarabangsa di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di Kuching, esok.

Ia adalah sempena Federation Internationale De Natation (FINA) World Diving Grand Prix anjuran Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak.

Kejohanan bertaraf dunia itu akan berlangsung selama tiga hari mulai esok.

Pandelela, bagaimanapun, hanya hadir sebagai penonton kerana dalam proses berehat.

Setiausaha Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS), Anthony Kong, berkata seramai 43 penerjun daripada lapan negara akan terlibat dalam terjunan tersebut.

Antaranya termasuk 10 penerjun dari Malaysia, China (12), Amerika Syarikat (6), Kanada (5), Australia (4) selain masing-masing dua peserta dari Russia, Singapura dan Hong Kong.

Sebelum ini, pusat akuatik yang asalnya dikenali sebagai Pusat Akuatik Sarawak di Petra Jaya itu menjadi tuan rumah kepada temasya Sukma XVIII dan Paralimpiad Ke-18.

Dalam kejohanan kali ini, sebanyak 10 acara dipertandingkan, iaitu 3 meter papan anjal, 3 meter platform, 10 meter platform, 10 meter platform seirama dan 3 meter papan anjal seirama.

"Hadiah berupa wang tunai USD500 (RM2,086) untuk tempat pertama, USD300 tempat kedua dan USD200 tempat ketiga.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, yang menggantikan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, esok.

"Ia sesuatu yang amat menarik untuk kejohanan yang julung kali diadakan di luar Kuala Lumpur ini kerana akan menyaksikan beberapa bekas juara dunia berentap merebut hadiah wang tunai yang ditawarkan," kata Anthony.