Keputusan doping Kejohanan Negara-Negara Komanwel di Gold Coast, Australia, 31 Oktober ini boleh menentukan nasib atlet angkat berat negara, Hafifi Mansor, selepas didapati positif bahan terlarang jenis oxymetholone ketika menyertai Terbuka Australia, Mac lalu.

Jika keputusan doping di Gold Coast berpihak kepada Hafifi, maka ia boleh dijadikan pemangkin untuk mencabar sampel B.

Kesemua atlet negara diarah menjalani ujian doping di Gold Coast, terutama pemenang pingat emas kejohanan, Hafifi, dan Mohd Azroy Hazal Wafi Izhar.

Kes Hafifi mengejutkan arena sukan negara kerana dia merupakan harapan utama menjelang Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat, bulan depan dan mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel 2018.

"31 Oktober nanti keputusan doping Kejohanan Negara-Negara Komanwel akan dikeluarkan. Kami berdoa supaya tiada atlet yang sangkut kerana doping merupakan isu besar dalam sukan angkat berat ketika ini," kata atlet angkat berat wanita negara, Sharifah Inani Najwa Syed Anuar.

Sementara itu, bekas jaguh bina badan negara, Sazali Samad, yang sedang menjalani penggantungan empat tahun ekoran positif steroid, mencadangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melantik peguam untuk membantu Hafifi.

"Dia perlu berbuat sesuatu seperti Datuk Lee Chong Wei.

"Atlet ada hak untuk dibela nasib mereka semua, macam kes saya. Saya menyarankan kepada siapa yang terkena bahawa mereka ada hak pembelaan," katanya.

Atlet berusia 27 tahun itu, yang merupakan pemegang rekod kebangsaan, melalui duka tersendiri pada musim ini -- bermula dengan kecederaan yang menghalang dia daripada membuat penampilan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sudah pasti Malaysia mengharapkan sinar daripada kes doping ini memandangkan dia adalah antara taruhan pingat emas dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018.