Terengganu Turtles menyambung pusingan kedua Liga Sepak Takraw (STL) 2016 dengan mengutip kemenangan kelapan apabila membenam Kedah Eagles 21-18, 21-6 hari ini sambil mengukuhkan status peneraju carta mata.

Regu yang 'direncah' Vitthaya Boontha dari Thailand yang menampilkan tekong, Zulkifli Razak, dan pengumpan, Azwan Muhrim, hanya mendapat sedikit tentangan daripada Eagles dalam set pertama di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor.

Sekalipun hanya perlu bergantung dengan perejam tunggal, Kamal Alfiza Shafie, yang baru merasai perlawanan sepenuh masa kerana Fadzli Roslan tercedera Jumaat lalu, Turtles tetap mara dengan mengumpul 16 mata tanpa kalah.

Eagles pula yang dibarisi Nazirul Akram Razali, Shahrol Nizam Romli dan Zuleffendi Sumari terus menghuni tangga keempat liga dengan lapan mata, malah telah dilangkau Kuala Lumpur Thunder semalam yang menewaskan Johor Tigris.

Dalam satu lagi perlawanan, ATM Guardians (Nazmi Najib, Afifuddin Razali dan Norfaizzul Razak) melonjak ke tangga kelima untuk menghindari zon penyingkiran apabila menumpaskan Kelantan Warriors (Hisyam Mat/Khairul Hisham Yusoff, Wan Naim Izani Noor, Aidil Aiman Azwawi) 21-18, 21-15.

"Sepatutnya kami menurunkan tekong Asrah Adenan tetapi malangnya dia diserang demam dan doktor yang memeriksanya memberikan cuti tiga hari," kata pengurus Kedah, Syed Husain Syed Abu Bakar,

"Jadi, itu yang kami kena turunkan Nazirul dan gandingannya dengan Shahrol (digantikan Ali Alhamidi Ayob) masih mampu menyaingi Terengganu yang memiliki kekuatan servis tekongnya," katanya.

"Set kedua, kami agak hilang tumpuan apabila pengadil salah mengira mata pada kedudukan 1-4. Kami cuba memasukkan tekong remaja berusia 18 tahun, Syakim Jamil, sebagai pendedahan."

Fadzli, apit kanan Turtles yang turut hadir memberikan sokongan moral dari luar gelanggang, berkata, "Mana-mana atlet pasti kecewa apabila ditimpa insiden kecederaan seperti saya (dalam set kedua menentang Penang Panthers).

"Saya khuatir kalau bahagian pinggang belakang badan saya yang terhentak ke lantai itu mengenai tempat kecederaan lama saya, tiga tahun lalu," kata bekas perejam negara yang kali terakhir mewakili Malaysia dalam Sukan Asia Incheon 2014 ini.

Divisyen Satu STL pula berpindah teraju kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A pada hari ketiga saingannya selepas mengumpul empat mata daripada kemenangan kedua, ke atas Labuan hari ini.

Terikat empat mata dan empat set dimenangi, PSM A masih berkelebihan jurang mata menang dan mata kalah, 45 berbanding 21 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tangga kedua sambil diekori rapat PSM B, ketiga.