Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader, melabel tindakan skuad Malaysia memulaukan perlawanan regu kedua aksi final berpasukan Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand minggu lalu, sesuatu yang memalukan dan wajar dikenakan tindakan.

Abdul Halim kesal atas apa yang dilakukan oleh pasukan Malaysia, apatah lagi Thailand selaku tuan rumah, masih lagi dalam tempoh perkabungan atas kemangkatan rajanya.

Sebagai tindakan susulan, ISTAF tidak teragak-agak untuk menggantung barisan pemain negara daripada terlibat dalam mana-mana kejohanan sepak takraw dalam satu tempoh masa tertentu, selepas mendapat penjelasan lanjut daripada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

"Kami tidak boleh mempunyai perasaan emosi dan perlu memperolehi fakta-fakta yang diberikan oleh pihak-pihak tertentu, terutama sekali pihak penganjur, iaitu Persatuan Sepak Takraw Thailand, pegawai-pegawai ISTAF dan pengadil," tegas Abdul Halim.

Katanya, atas alasan apa sekali pun, skuad Malaysia tidak sepatutnya memboikot aksi final yang turut disaksikan oleh wakil Raja Thailand secara langsung di siaran televisyen mereka, sekaligus telah memalukan negara berkenaan.

Tambahnya lagi, "Tindakan ini amat memalukan seluruh keluarga sepak takraw, pemimpin, bukan sahaja dari Malaysia, tapi memalukan keseluruhan jawatankuasa, majlis dan juga negara-negara luar selain Malaysia."

Terdahulu, skuad negara bertindak memulaukan perlawanan akhir regu kedua minggu lalu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pengadil dari Vietnam yang didakwa berat sebelah sewaktu aksi regu pertama negara yang diwakili Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Syazreenqamar Salehan.