Tekong utama kebangsaan, Syahir Rosdi, tidak mengganggap pasukannya, Penang Panthers, sebagai pilihan untuk menjuarai Liga Sepak Takraw (STL) musim ini, sebaliknya menganggap semua pencabar yang layak ke separuh akhir tetap mempunyai peluang untuk ditabalkan sebagai juara.

“Tidak ada pasukan yang boleh mendakwa sebagai pilihan utama dalam saingan separuh akhir kali ini. Keempat-empat pasukan telah membuktikan kehebatan masing-masing dan hanya pasukan yang beraksi cemerlang mampu ke final. Bagi saya, pertemuan menentang ATM Guardians menjadi fokus utama sekarang.

“Biarpun kami muncul juara liga (peringkat awal) tetapi perbezaan mata dan corak persembahan dengan Terengganu Turtles, Kuala Lumpur Thunder dan ATM Guardians tidak banyak bezanya.

"Pasukan yang konsisten dan kurang melakukan kesilapan akan muncul sebagai juara keseluruhan STL musim ini,” katanya.

Ditanya sama ada kejayaan menggondol Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) STL musim ini mampu menjadi motivasi terbaik kepadanya untuk menghadapi saingan separuh akhir Sabtu ini, Syahir menjelaskan anugerah itu hasil semangat sepasukan tinggi yang dimiliki bersama dan berjanji akan terus mempamerkan aksi mantap dalam pertemuan dengan ATM Guardians.

“Syukur kepada Allah. Anugerah ini adalah hasil semangat juang yang tinggi dalam pasukan kami. Tentulah menjadi pembakar semangat untuk saya mempamerkan aksi yang lebih baik dalam saingan separuh akhir nanti.

“Satu perlawanan yang sengit kerana masing-masing sudah mengenali kekuatan dan kelemahan semasa pertandingan peringkat liga lagi. Pasukan yang kurang melakukan kesilapan mudah akan mara ke final,” katanya.

Untuk rekod, Penang Panthers akan berhadapan dengan juara bertahan, ATM Guardians, manakala satu lagi separuh akhir akan mempertemukan Kuala Lumpur Thunder (tangga ketiga liga) menentang skuad pilihan, Terengganu Turtles, yang menjadi naib johan peringkat awal Divisyen Perdana STL musim ini.