Sukma: Suhairi yakin persiapan tidak terjejas

Oleh Farizal Yusoff 22 April 2020 213
Sukma: Suhairi yakin persiapan tidak terjejas
Ketua jurulatih skuad Sepak Takraw Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan, Suhairi Nordin, tidak mahu prestasi pemainnya terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan kerajaan akibat penularan wabak Covid-19.

Justeru, dia bersama rakan jurulatih, Zairullah Yusof dan Asyraf Mamat merangka pelbagai program khusus (kecergasan dan kemahiran)  yang perlu diikuti pemain dari rumah masing-masing bagi meningkatkan tahap kecergasan.

"Selepas menyertai Kejohanan Road To  SUKMA anjuran Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) di Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 01 Mac lepas, pemain akur dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan dan hanya mengadakan latihan secara bersendirian di rumah masing-masing.

"Mereka (pemain) akan menjalani latihan selama sejam setiap hari dan perlu memuatnaik video latihan dan akan ada sesi perbincangan untuk membaiki segala kelemahan yang ada," tambahnya.

Suhairi yang juga Ketua jurulatih Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kelantan, yakin mampu mencapai sasaran satu pingat Emas yang ditetapkan Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan dalam SUKMA  yang akan berlangsung di Johor pada tarikh yang akan diumumkan nanti.

"Dengan kehadiran apit kanan Kelantan Warriors, Mohd Eqbal Samsuddin sambil dibantu enam pemain SUKMA edisi lalu, saya yakin sasaran itu mampu dicapai.

"Insya-Allah, selepas PKP tamat, kami merancang untuk mengadakan siri perlawanan persahabatan termasuk menentang Kelantan Warriors untuk menguji persefahaman dan kemantapan regu.

Untuk rekod, dalam edisi SUKMA ke-19 di Perak, dua tahun lepas, Kelantan berjaya memunggut satu pingat Emas menerusi acara double dan satu Gangsa dalam sukan Sepak Takraw.

 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen