STL: Warriors mahu tundukkan Antlers

Oleh Farizal Yusoff 18 Oktober 2019 1608
STL: Warriors mahu tundukkan Antlers
Bukan mahu membalas dendam tetapi meneruskan rentak kemenangan menjadi teras perjuangan Kelantan Warriors dalam minggu keenam ketika menentang Negeri Sembilan Antlers dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, malam ini.

Warriors, yang tumpas 1-2 kepada Antlers dalam pusingan pertama, dijangka mengekalkan regu utamanya yang membariskan tekong import, Apirak Promanee, Naim Izani Mohd Noor dan Aidil Aiman Azwawi.

Pengurus Kelantan Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, yakin pemainnya mahu memulakan minggu sukar ini dengan memburu kemenangan ke atas juara divisyen satu musim lalu itu sambil mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat terbaik.

"Minggu yang sibuk untuk Warriors kerana kami memiliki tiga perlawanan sukar yang perlu diharungi.

"Kami perlu berhati-hati kerana Antlers juga mahu mendapatkan mata penuh untuk membaiki kedudukan dalam carta liga STL," ujarnya.

Syazwan juga menjelaskan barisan kejurulatihan Warriors berusaha keras membaiki segala kelemahan yang ada sepanjang sesi latihan di Kota Bharu.

"Ketua jurulatih (Rozi Ab Rahman) memberi fokus untuk meningkatkan komunikasi pemain di dalam gelanggang.

"Selain itu, pemain juga dituntut supaya cepat menyesuaikan diri dengan suasana perlawanan supaya tidak terlalu jauh dalam kiraan mata, terutama dalam set pertama," katanya.

Untuk rekod, Warriors menduduki tempat keempat dengan 14 mata hasil tujuh kemenangan manakala Antlers dengan 10 mata di tangga kelapan liga.
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen