STL: Warriors kejutkan Panthers di Ipoh

Oleh Staff Writer 1 November 2019 1055
STL: Warriors kejutkan Panthers di Ipoh
Hajat Penang Black Panthers untuk melebarkan kedudukan di puncak Liga Sepak Takraw (STL) tidak kesampaian selepas tewas kepada Kelantan Warriors 2-0 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, sebentar tadi. 

Black Panthers -- yang dibarisi Said Ezwan Said De (tekong), Azlan Alias (killer) dan Zulhusni Basri (apit kiri) -- menghadapi perlawanan minggu kelapan dengan sasaran untuk mengukuhkan cengkaman di mercu liga.

Bagaimanapun, mereka berdepan tentangan sengit daripada trio Warriors apabila mereka saling mengutip mata demi mata sehinggalah perlawanan terikat 20-20.

Apirak Promanee yang turun selaku tekong bersama-sama dengan Naim Izani Wan Noor (killer) dan Aidil Aiman Azwawi (feeder) mencuri set pertama apabila berjaya menyerapkan tekanan pencabar utama itu untuk menang 25-23.

Warriors menggunakan momentum kemenangan set pertama itu untuk terus menampilkan corak permainan lebih cemerlang -- mendahului 12-9 ke atas Panthers sebelum saingan sengit ditonjolkan kedua-dua pasukan.

Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan mematahkan harapan Panthers untuk membawa perlawanan ke set penentuan apabila tewas 21-18.

Kekalahan itu menyaksikan Panthers kekal di tangga teratas, namun terikat dengan ATM Guardians menerusi kutipan mata (24).

Keputusan lain:

ATM GUARDIANS mn TERENGGANU TURTLES 2-1 (16-21, 21-18, 21-15)

NEGERI SEMBILAN ANTLERS mn SABAH MOUTAINEERS 2-0 (21-10, 21-7)

JOHOR TIGRIS mn PDRM DEFENDERS 2-0 (21-10, 21-19)

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen