Format baru antara regu yang diperkenalkan dalam Kejohanan Sepak Takraw League (STL) 2016 menyaksikan Terengganu Turtles membenam Johor Tigris 2-0 dalam perlawanan pembukaan di Stadium Majlis Perbandaran Serdang Jaya, hari ini.

Masih segar selaku naib juara Grand Prix (GP) Sepak Takraw Malaysia 2016, Terengganu Turtles mempamerkan penguasaan sejak awal permainan dengan mempertaruhkan trio Azwan Muhrim, Irsyad Faiz dan Fadzli Muhammad Roslan untuk menamatkan set pertama 21-12.

Sedar dengan ancaman itu, Johor Tigris mempertaruhkan Norhafizi Abdul Razak, Amirul Asyraff dan Noor Rizal Jaafar pada set kedua, namun masih gagal menyekat kemenangan 21-10 lawan mereka.

Jurulatih Johor Tigris, Jamaluddin Hassan, percaya pasukannya mampu memperbaiki persembahan mereka dalam perlawanan seterusnya menentang Melaka Titans, minggu depan.

"Kami agak kecewa dengan persembahan kami hari ini. Namun ini baru perlawanan sulung musim ini dan saya percaya pemain akan memperbaiki persembahan untuk perlawanan akan datang," kata jurulatih berusia 62 tahun itu.

Sementara itu, jurulatih Terengganu Turtles, Hamikhairi Muhamad Roslan, menghamburkan pujian terhadap anak buahnya susulan rentak hebat yang dipamerkan dalam aksi pertama.

"Saya berpuas hati dengan persembahan pemain hari ini. Selepas ini, kami akan mengalih tumpuan kepada pencabar kami yang seterusnya, Kedah Eagles, pada hari Ahad nanti.

"Kami akan memberi tumpuan kepada satu demi satu perlawanan," kata Hamikhairi.

Dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung hari ini, Kedah Eagles menundukkan Kuala Lumpur Thunder 21-12, 21-9.

Baki jadual perlawanan minggu ini:

Sabtu

4 petang: Penang Black Panthers melawan Kelantan Warriors
5.30 petang: ATM Guardians melawan Melaka Titans

Ahad
4 petang: Kelantan Warriors melawan ATM Guardians
5.30 petang: Kedah Eagles melawan Terengganu Turtles