STL: Syahir, Azlan tonggak baru KL Thunder?

Oleh Shaiful Shamsudin 18 Julai 2020 3533
 STL: Syahir, Azlan tonggak baru KL Thunder?
Dua tonggak pasukan Penang Black Panther, iaitu tekong, Syahir Rosdi; dan apit kanan, Azlan Alias, tampak hampir pasti berhijrah ke pasukan KL Thunders untuk saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim 2020.

Difahamkan, kedua-dua pemain itu sudah menjalani latihan bersama pasukan KL Thunders dan sekiranya benar, sudah pasti akan menguatkan skuad itu bagi mencabar kejuaraan Liga Premier.

Sebelum ini, industri sepak takraw digemparkan dengan penggantungan bekas tekong kebangsaan itu selama sembilan bulan, bermula 27 Jun tahun lalu akibat masalah disiplin.

Namun, pemain tinggi lampai, yang mewakili Penang Black Panther apabila membantu mereka muncul juara tiga edisi STL, dikhabarkan akan berubah angin di samping apit kanan negara itu secara tidak langsung bakal meletakkan KL Thunders antara pasukan yang digeruni.





Syahir, yang terkenal dengan servis kuda, sebelum ini menjalani penggantungan selama sembilan bulan yang dikenakan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) lalu.

Apapun kehadiran Syahir dan juga Azlan yang menjulang Black Panther dalam saingan lalu merupakan satu suntikan semangat kepada KL Thunders dalam mencabar kejuaraan liga.

Namun, usaha untuk mendapatkan reaksi tentang perpindahan kedua-dua pemain itu gagal ekoran mereka masih belum bersedia untuk memberi sebarang kenyataan.

Dalam pada itu, sempena edisi kali ini,  tiada khidmat pemain import akan digunakan kerana Kerajaan Malaysia masih lagi menutup sempadan kepada negara lain bagi membendung penularan COVID-19.

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen