ATM Guardians memastikan tiada penyudah anti klimaks dalam perebutan kejuaraan Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018 apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Selangor Pistons hari ini untuk merampas semula takhta liga.

Dalam perlawanan di Gem In Mall, Cyberjaya itu, Hairul Hazizi Haidzir yang bergandingan dengan Norfaizzul Razak dan Abdul Muhaimi Che Bongsu menang 21-18, 21-17 ke atas trio Yushairil Amir Yusoff, Farhan Adam dan Amyrul Shafiq Shamudin.

Kemenangan ke-14 itu menyaksikan ATM Guardians mengumpul jumlah mata sama dengan Penang Black Panthers (28 mata), namun mendahului carta liga 10 pasukan itu menerusi perbezaan set menang.

Ini bermakna gelaran juara akan ditentukan pada hari terakhir STL Premier 2018 esok dengan ATM Guardians akan dinobatkan selaku juara sekiranya mencatat kemenangan straight set ke atas pasukan tangga ketiga, KL Thunder.

Namun, jika tercicir satu set, ia bakal menyaksikan mereka berputih mata melepaskan kejuaraan kepada Penang Black Panthers yang dijangka tidak berdepan masalah menewaskan pasukan tangga tercorot, Melaka Titans.

Jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, tidak mahu barisan pemainnya tertekan dan kekal memberi tumpuan 100 peratus agar dapat menamatkan perjuangan selaku juara, sekali gus merobohkan dominasi Penang Black Panthers yang muncul juara dua musim berturut-turut.

“Kami berada di tahap terbaik untuk mengetepikan tentangan sengit Selangor Pistons dan perlu bermain dengan jauh lebih baik menentang KL Thunder. Ketika pusingan pertama, kami tewas straight set kepada mereka dan perlu menang perlawanan ini, juga dengan straight set.

“Dengan Penang Black Panthers akan bermain terlebih dahulu sebelum kami, memang tekanan lebih kepada ATM Guardians tetapi saya ingatkan kepada pemain agar kuatkan mental dan jangan fikir pasal keputusan perlawanan Penang, sebaliknya fokus untuk menterjemahkan permainan terbaik.

“Di atas kertas, ia satu perlawanan sukar tetapi macam-macam boleh berlaku dan saya yakin dengan pemain saya,” kata Aswadi.

Sementara itu, kekalahan ke-13 buat Selangor Pistons menyaksikan mereka menamatkan cabaran di kedudukan kesembilan dengan hanya 10 mata dan tersingkir ke STL Divisyen Satu musim depan bersama-sama Melaka Titans.

Keputusan:

ATM Guardians mn Selangor Pistons 2-0 (21-18, 21-17)