Buat julung kalinya, Liga Sepak Takraw (STL) memperkenalkan Piala Juara STL yang turut melibatkan pasukan dari Thailand, Korea Selatan dan Indonesia dengan misi meluaskan pengaruh kejohanan ke seluruh dunia.

Pada tahun lalu, STL mencatat jumlah tontonan sebanyak 5.6 juta menerusi platform Astro, meningkat 17 peratus daripada musim 2015.

Sambutan memberangsangkan itu meyakinkan penganjur untuk menjemput pasukan luar negara bertanding merebut Piala Juara STL yang diadakan selepas tamat saingan STL 2017 pada 3 Disember depan.

"Tiga negara itu wajib mempunyai seorang pemain tempatan di dalam gelanggang, bukan pemain simpanan," kata Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, hari ini.

"Kita mahu memberikan pendedahan perlawanan dalam gabungan permainan. Ia kerana mereka akan dapat berlatih bersama. Ini bagus untuk mereka."

Sementara itu, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Sukan Astro, Lee Choong Kay, berkata: "Kami gembira melihat inisiatif ini diperkenalkan.

"Kami yakin jumlah penontonnya meningkat, dengan melakukan pemasaran dan promosi seperti sebelum ini.

"Kami juga mengharapkan hak penyiaran untuk pertandingan sepak takraw dalam Sukan SEA dapat meningkatkan jumlah tontonon untuk STL."

Lapan pasukan akan bertanding dalam Liga Perdana STL, diketuai juara bertahan, Penang Black Panthers selain kehadiran pendatang baru, Perak Bison, selaku juara divisyen 1 dan naib juara, Selangor Piston.

STL edisi keempat itu akan berlangsung dari 29 September hingga 3 Disember depan.

Pasukan Liga Perdana STL 2017:

1. Penang Black Panthers
2. Johor
3. Kelantan
4. Kuala Lumpur
5. Terengganu
6. ATM Guardian
7. Perak Bison
8, Selangor Piston