STL: Perebutan juara liga makin sengit

Oleh Farizal Yusoff 24 November 2018 859
STL: Perebutan juara liga makin sengit
Perebutan juara Liga Sepak Takraw (STL) Premier musim ini semakin menarik apabila ATM Guardians mudah menumpaskan Selangor Pistons 2-0 (21-18, 21-17) dalam saingan minggu kelapan di Gem In Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

Kemenangan straight set itu membolehkan ATM Guardians kembali mendahului liga dengan 28 mata, sama dengan juara bertahan, Penang Black Panthers, tetapi dibezakan melalui kiraan set menang.

ATM Guardians yang turun dengan penuh semangat membariskan tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, perejam, Muhaimi Che Bongsu, dan apit kiri, Norfaizzul Abdul Razak.

Selangor Pistons yang tewas 2-0 kepada Penang Black Panthers malam tadi, membariskan apit kiri kebangsaan, Farhan Adam, untuk bergandingan dengan tekong, Yusyairil Amir Yusoff, dan Amyrul Syafiq Shamuddin.

Dalam set pertama, ATM  Guardians bermula garang dengan meninggalkan lawannya 11-4 sambil Selangor Pistons membuat pertukaran pertama dengan membawa masuk apit kanan gantian, Shafirul Nizam Zainal, dan mengeluarkan Amyrul Syafiq.

Shafirul membawa semangat baharu untuk Selangor Pistons apabila libasan kencangnya membolehkan Merah Kuning memperoleh empat mata berturut-turut untuk kedudukan 8-11.

Permainan terhenti seketika apabila pemain Selangor Pistons membantah keputusan pengadil perlawanan, Meor Azwa, ketika kedudukan 14-9 yang membatalkan halangan dilakukan Shafirul.

Insiden itu tidak mematahkan semangat Merah Kuning dan melalui libasan kencang Shafirul, Selangor Pistons menyamakan kedudukan 15-15 sambil ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, meminta time-out.

Libasan kencang Muhaimi gagal dikawal kapten, Farhan, untk membolehkan ATM Guardians menang 21-18  dalam masa 40 minit.

Dalam set kedua,  ATM Guardians cuba menjarakkan kedudukan 14-12  melalui libasan kencang Muhaimi dan variasi servis Hairul Hazizi.

Selangor Pistons enggan mengalah, namun tiga libasan kencang Muhaimi berjaya membawa ATM Guardians meninggalkan lawannya 17-13 sambil ketua jurulatih Merah Kuning, Amir Yusoff, meminta 'time out' untuk merancang semula strategi.

Servis kencang Hairul Hazizi di angka penamat mencari sasaran tujuh, gagal dikawal Farhan bagi membolehkan ATM Guardians menang 21-17, sekaligus kembali mendahului carta liga dengan 28 mata.

Tekong utama ATM Guardians, Hairul Hazizi,  bersyukur dengan kejayaan itu sambil mengakui akan membaiki segala kekurangan yang ada bagi menghadapi aksi terakhir menentang Kuala Lumpur Thunder, malam esok.

"Alhamdulillah,  kami dapat mengatasi cabaran sengit Selangor Pistons untuk menang straight set.

"Kami akan baiki segala kekurangan dan Insya-Allah jika ada rezeki, kejuaraan akan memihak kepada ATM Guardians," katanya.

Kemenangan 2-0 itu memberi motivasi terbaik kepada ATM Guardians untuk turun menentang pencabar utama, Kuala Lumpur Thunder, dalam aksi terakhir malam esok  manakala kekalahan ini bermakna Selangor Pistons mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Premier. 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen