STL: Perebutan gelaran masih terbuka

Oleh Azizan Hashim 28 Oktober 2019 4113
STL: Perebutan gelaran masih terbuka

Perebutan gelaran juara Liga Premier Liga Sepak Takraw (STL) 2019 masih terbuka berikutan kekalahan semua pencabar gelaran, iaitu Penang Black Panthers, Perak Bison dan ATM Guardians, malam tadi.

Panthers tumpas kepada Johor Tigris manakala Bison tunduk kepada Kuala Lumpur Thunder sementara Guardians tewas kepada Negeri Sembilan Antlers.

Keputusan-keputusan di luar dugaan pada hari ketiga minggu ketujuh itu bererti penentuan gelaran STL akan berlanjutan hingga ke minggu kelapan, iaitu minggu terakhir.

Ia jelas menunjukkan bahawa setiap pasukan meningkatkan persembahan masing-masing dalam usaha membuat pecutan terakhir ke garisan penamat.

Panthers, Bison dan Guardians ketika ini terikat dengan 22 mata dan mempunyai baki dua atau tiga perlawanan.

Namun, pasukan seperti Kelantan Warriors dan Johor Tigris perlu diberi perhatian kerana mampu datang dari belakang untuk memintas mereka.

Tigris umpamanya mempunyai baki tiga perlawanan. Jika menang semua, pasukan dari selatan tanh air itu akan mengutip 26 mata.

Ketika ini, tiada pasukan yang boleh mendakwa miliki kelebihan kerana sesiapa sahaja boleh dikalahkan.

ATM Guardians yang mempamerkan persembahan mengagumkan ketika membenam Perak Bison 2-0 pada hari kedua minggu ketujuh, bagaimanapun gagal mengulangi persembahan bertenaga itu ketika bertemu Negeri Sembilan Antlers hingga tumpas 2-0.

Pemain Guardians bagaikan hilang percikan api dan kesungguhan seperti ketika bertemu tuan rumah, Perak Bison, itu.

Pasukan penuh kontroversi, Penang Black Panthers yang hanya tinggal empat pemain gara-gara pengunduran beberapa pemain tiada pengganti tekong berwibawa berikutan kecederaan yang menimpa Said Ezwan Said De di pertengahan perlawanan dengan Johor Tigris.

Perak Bison juga tampak gagal pulih daripada kejutan yang diterima di tangan Guardians.

Seperkara lagi yang menarik ialah pemain tempatan sudah tidak membiarkan diri mereka diperkotak-katikkan oleh tekong-tekong import.

Justeru tekong Bison, Nattawhut Naewprom, dilihat tidak memiliki sebarang kelebihan dalam perlawanan menentang ATM dan Kuala Lumpur.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen