Perak Bison perlu mengutip sebanyak mata yang mungkin dalam baki empat perlawanan jika tidak mahu tersingkir ke Division 1, Liga Sepak Takraw (STL) 2019.

Ini kerana Bison ketika ini menduduki dua tangga tercorot lLiga 10 pasukan itu selepas hanya mengutip 10 mata.

Melaka Titans pula menduduki tangga tercorot dengan dua mata.

Penolong pengurus pasukan, Roaznizam Aziz, mengakui kedudukan pasukan itu kini ibarat telur di hujung tanduk dan Bison perlu melakukan sesuatu yang dramatik untuk menyelamatkan diri daripada zon penyingkiran.

Kegelisahan kem Perak difahami kerana tahun lalu mereka menduduki tempat ketiga STL dan muncul naib juara Champions Cup tetapi kali ini mereka calon penyingkiran.

"Empat perlawanan dalam tempoh dua minggu ini adalah penting kerana ia akan menentukan hala tuju kami.

"Keadaan memang kurang memberangsangkan kerana kami menghadapi masalah tekong.

"Tekong utama (Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin) mengalami kecederaan manakala persembahan Yus Hanif Rosli merosot.

"Tekong muda, Heppy Itam, masih dalam proses penyesuaian.

"Saya berharap dia akan menemui sentuhan dalam baki perlawanan kami bermula minggu ini," katanya.

Roaznizam berkata Bison nempunyai dua perlawanan minggu ini, iaitu bertemu Johor Tigris esok, diikuti pertemuan dengan Melaka Titans pada Ahad.

Katanya, peluang Bison mengelak tersingkir masih ada dengan syarat perlu memenangi perlawanan sambil berharap lawan di atas mereka, iaitu Selangor Piston, PDRM Defenders dan Terengganu Turtles tumbang dalam perlawanan masing-masing.