Selepas tewas 2-0 kepada Selangor Pistons malam tadi, Perak Bison mengakui kepenatan menjadi musuh utama menjelang pertemuan menentang pendahulu liga, ATM Guardians, dalam aksi minggu kedua Liga Sepak Takraw (STL) di Gem in Mall, Cyberjaya, petang ini.

Perak Bison membuat kejutan menumpaskan pencabar kejuaraan, Kuala Lumpur, 2-1 kelmarin, sekali lagi terpaksa bertungkus-lumus sebelum tumpas kepada trio Merah Kuning yang diketuai apit kiri kebangsaan, Farhan Adam, 21-19, 21-17 dalam masa hampir sejam.

Ketua jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, mengakui pemainnya berperang dengan kepenatan dalam usaha untuk kembali cergas berdepan dengan ATM Guardians.

"Selepas berhempas-pulas mengalahkan KL Thunder, kami menerima cabaran sengit Selangor Pistons yang begitu dahagakan kemenangan. Pemain sudah mencuba dan memberikan yang terbaik, cuma rezeki berpihak kepada lawan.

"Tahniah kepada pemain saya yang mampu bertahan dan memberikan aksi terbaik dan petang ini, kami akan berdepan dengan satu lagi cabaran sukar, ATM Guardians," katanya.

Ditanya strategi yang bakal digunakan untuk memerangkap skuad ATM Guardians, Ismi Hissan menjelaskan mereka akan beraksi dengan semangat juang yang tinggi dan tidak mudah menyerah kalah.

"Harap pemain dapat pulih sepenuhnya (mental dan fizikal) dan terus berjuang demi lencana Perak di dada.

"Semua tahu ATM Guardians memiliki trio pemain yang baik dan berpengalaman musim ini tetapi itu bukanlah alasan kepada kami untuk mudah menyerah kalah," katanya.