Sekalipun tewas dalam perlawanan pembukaan kepada penyandang juara Liga Sepak Takraw (STL), Penang Black Panthers, 2-1, Perak Bison bangkit dengan mempamerkan aksi terbaik menewaskan Kelantan Warriors 2-0 di Stadium Tertutup Serdang Jaya (MPSJ), Selangor, minggu lalu.

Menurut jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, ini satu petanda bahawa pasukannya mampu memberi impak dan cabaran kepada skuad lain yang lebih senior dalam saingan.

"Minggu ini, saya pasti anak buah saya lebih bersedia untuk berdepan ATM Guardians esok dan Selangor Piston, Ahad. Maklumlah, angin Liga Perdana baru mereka rasai," katanya.

Bagi Ismi, saingan setiap pasukan kali ini lebih terbuka dan semua pasukan bertanding mempunyai peluang seimbang berdasarkan kejutan keputusan perlawanan.

"Walaupun terlalu awal untuk menilai, namun kita dapat lihat bagaimana pasukan pilihan seperti Terengganu Turtles dan Kuala Lumpur Thunder tewas kepada Selangor Piston dan Kelantan Warriors.

"Ini menunjukkan keseimbangan pasukan bertanding. Oleh itu, percaturan taktikal pasukan kena tepat. Jika tersalah atur, pasukan lawan akan ambil kesempatan.

"Saya berharap Perak Bison dapat pamerkan keajaiban dan cipta kejutan," tambahnya.

Selepas berakhir dua perlawanan, Perak Bison kini di kedudukan ketiga liga.