Minggu yang sibuk untuk Perak Bison apabila dijadualkan menentang pendatang baru, PDRM Defenders, juara bertahan, Penang Black Panthers dan Kelantan Warriors dalam aksi minggu keempat Liga Sepak Takraw (STL) di Gem in Mall, Cyberjaya.

Ketua jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, tenang dengan situasi itu sambil menyifatkan pemainnya akan memberikan aksi terbaik bagi memburu kemenangan, sekali gus membaiki kedudukan carta liga.

"Minggu yang mencabar untuk Perak Bison apabila kami akan mengadapi tiga pasukan kuat, termasuk juara bertahan, Penang Black Panthers.

"Kami akan fokus kepada aksi pertama dahulu menentang PDRM Defenders malam ini sebelum memikirkan cabaran dua lagi pasukan," katanya.

Ismi Hissan yang berjaya membawa Perak menjuarai Piala Emas Khir Johari (PEKJ) di Kota Bharu, Julai lalu, terkilan tidak dapat menggunakan tekong muda, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin, akibat kecederaan.

"Hampir pasti Meor (Zulfikar) akan diketepikan kerana mengalami hamstring dan perlu berehat hampir sebulan. Kami akan turunkan tekong muda dan nantikan kejutan malam ini.

"Penting untuk kami mengalahkan PDRM Defenders malam ini sebagai pembakar motivasi sebelum bertemu juara bertahan, Penang Black Panthers, malam esok," katanya.

Ditanya kekuatan PDRM Defenders, Ismi Hissan tanpa berselindung mengakui pengalaman menjadi senjata utama lawan mereka itu.

"Mereka (PDRM Defenders) memiliki pemain berpengalaman seperti kapten, Mohd Syafiq Abdul Rahman, yang sentiasa tenang mengawal keadaan.

"Satu pertemuan yang menarik dan pasukan yang kurang melakukan kesilapan akan keluar sebagai pemenang," katanya.