Penganjuran Liga Sepak Takraw (STL) diiktiraf menjadi penyumbang kepada pembangunan kejayaan skuad kebangsaan memenangi emas dalam sukan bertemasya.

Memasuki musim kelima, STL dihangatkan dengan penyertaan pemenang pingat emas antara regu Sukan Asia 2018 seperti Azlan Alias, Farhan Adam dan Zulkifli Abdul Razak.

"Selepas 24 tahun, Malaysia kembali meraih pingat emas dalam Sukan Asia.

"Saya berasakan setiap pemain memiliki teknik yang sama tetapi beraksi di pentas antarabangsa, ia menghadirkan kebimbangan dan ia antara sebab kami gagal sebelum ini," kata Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail.

"Tetapi dengan adanya penganjuran STL, ia dilihat sebagai sebuah kejohanan besar dan sekali gus meningkatkan lagi keyakinan mereka ketika beraksi."

Penganjuran STL yang ditunjangi Astro Arena juga seiring dengan kejayaan memenangi emas dalam Sukan SEA Singapura 2015 serta Kuala Lumpur 2017.

"PSM perlu memastikan prestasi sepak takraw negara dapat meningkat semula selepas ini dan dengan adanya kejohanan STL, ia dapat membantu perkembangan sukan ini," kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria.

Pengaruh serta persaingan STL ini turut menjadi harapan dalam pembangunan kualiti permainan Malaysia bagi menamatkan penguasaan Thailand.