Pasukan sepak takraw Kuala Lumpur Thunders enggan berasa selesa di kedudukan ketiga liga setakat ini, sebaliknya lebih berwaspada dengan dua perlawanan yang dijangka sengit berdepan Terengganu dan Penang Black Panthers minggu ini dalam aksi Liga Sepak Takraw (STL) 2017.

KL Thunders bergelut dalam empat perlawanan terdahulu selepas tewas dalam dua aksi pertama berdepan Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum menang ke atas Johor dan Selangor untuk menduduki teangga ketiga dalam liga setakat ini.

Bagaimanapun, mereka perlu bekerja keras bagi memastikan kedudukan tidak jauh tersasar kerana bakal berdepan dua pasukan gergasi, iaitu Terengganu dan Penang Black Panthers selaku juara bertahan.

“Saya memang menganggap perlawanan minggu ini merupakan ujian paling sukar kerana akan berdepan dua pasukan gergasi, iaitu Terengganu dan Penang Black Panthers,” ujar jurulatih KL Thunders, Azhar Sarabini.

Sementara itu, pemain KL Thunders, Norhafizi Abdul Razak selaku killer pasukan kini dalam proses mendapatkan kembali momentum terbaik dalam gelangang selepas berhempas-pulas di pentas Sukan SEA, Ogos lalu, dan sedar bahawa tahap kecergasan menjadi antara punca mereka gagal memperoleh kemenangan dalam dua perlawanan awal.

“Prestasi ketika Sukan SEA 2017 agak kurang memuaskan dan ia memberikan kesan kepada prestasi saya. Untuk memulihkannya semula, memang agak sukar tetapi saya terus berusaha,” ujarnya.