Kelantan Warriors menganggap kejayaan mengalahkan naib johan tahun lalu, Kuala Lumpur (KL) Thunder 2-1 dalam aksi pertama Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, petang semalam sebagai petanda baik bagi mengharungi perlawanan lebih mencabar musim ini.

Lebih mengembirakan, regu yang dibarisi pemain muda, Muhammad Khairul Hisham Md Yusoff (tekong), Aidil Aiman Zawawi (apit kiri) dan Muhammad Aiman Fouzi (apit kanan) berjaya menumpaskan skuad berpengalaman KL Thunder 14-21, 21-15, 21-13.

Ketua jurulatih Kelantan Warriors, Mohd Rozi Abdul Rahman, bersyukur dengan kemenangan itu dan menyifatkan kekuatan pertahanan yang dimiliki anak buahnya sebagai rahsia kejayaan.

“Alhamdulillah, syukur atas kemenangan 2-1 ke atas KL Thunder. Pemain berjaya bangkit semula biarpun tewas set pertama 14-21.

“Dalam dua set berikutnya, pemain saya berjaya mengurangkan kesilapan mudah dan memperkemaskan sistem pertahanan sehingga berjaya mengatasi cabaran sengit pasukan naib johan tahun lepas,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Rozi, 44, yang juga jurulatih skuad Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan tidak mahu anak buahnya leka dengan kemenangan tersebut kerana akan turun berdepan pendatang baharu, Perak Bison, petang ini.

“Masa untuk meraikan kemenangan pertama sudah berakhir. Petang ini, kita akan turun menentang pasukan Perak Bison dan harap dapat mencapai kemenangan kedua berturut-turut," katanya.