Selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Terengganu Turtles, Kelantan Warriors mahu menamatkan pusingan pertama dengan menambah luka ke atas Perak Bison dalam aksi kesembilan Liga Sepak Takraw (STL) di Gem in Mall, Cyberjaya, petang ini.

Kelantan Warriors, yang kembali mencatat kemenangan selepas mengalami minggu suram, perlu berusaha gigih mencipta kejayaan ke atas skuad kendalian Ismi Hissan Ismail itu jika tidak mahu terkeluar daripada persaingan merebut juara liga musim ini.

Ketua jurulatih Kelantan Warriors, Mohd Roslan Ismail, yakin pemainnya masih segar dengan kemenangan ke atas musuh tradisi, Terengganu Turtles, dan berjanji menamatkan pusingan pertama dengan memungut mata penuh ke atas Perak Bison.

"Kejayaan menumpaskan skuad pilihan, Terengganu Turtles, memberi motivasi terbaik kepada pemain muda Kelantan Warriors untuk berusaha lebih gigih.

"Kami sedar ancaman Perak Bison yang memiliki semangat juang yang tinggi. Biarpun, mereka tewas 1-2 kepada Penang Black Panthers malam tadi, aksi yang ditunjukkan cukup bertenaga.

"Kami perlu berhati-hati dan cuba mengurangkan kesilapan mudah jika tidak mahu berputih mata," katanya.

Ditanya mengenai kekuatan Perak Bison, Roslan menamakan gandingan apit kanan dan kiri mereka yang mantap menyukarkan regu lawan mencari mata mudah.

"Mereka memiliki apit kanan terbaik STL (Fadzil Mustapa) dan apit kiri, Azwan Muhrim, yang sentiasa tenang menguasai gelanggang. Kami perlu menguatkan sistem pertahanan dan perlu berada di tahap terbaik untuk memungut mata penuh," katanya.

Untuk rekod, Kelantan Warriors berada di tangga keenam dengan lapan mata hasil empat kemenangan manakala Perak Bison juga memungut lapan mata tetapi kekal di tangga kelima hasil perbezaan set.