STL: Kehadiran Syahir satu motivasi buat Hairul Hazizi

Oleh Muzaffar Musa 13 Jun 2020 2912
STL: Kehadiran Syahir satu motivasi buat Hairul Hazizi
Syahir Rosdi merupakan bekas tekong negara yang cukup digeruni kerana kemahirannya di dalam gelanggang.

Selepas tempoh pergantungannya selama sembilan bulan tamat, adakah kehadirannya akan menggugat tekong ATM Guardians, Hairul Hazizi Haidzir, jika Liga Sepak Takraw (STL) dapat berlangsung pada Ogos depan?

Syahir akan mewakili KL Thunder musim ini dan bagi Hairul Hazizi, dia bersedia menyahut cabaran itu dengan menganggap kehadiran tekong kelahiran Pulau Pinang itu sebagai penyuntik semangat dan cabaran untuk dia mempamerkan aksi lebih cemerlang.

"Menggugat kedudukan itu saya rasa tiada kerana saya tidak rasa diri saya bagus.

"Saya lebih suka ada pemain yang lebih bagus daripada saya supaya dapat dijadikan satu suntikan semangat untuk saya bersaing dengannya," katanya.

Apa yang menjadi kebimbangannya ketika ini adalah perasaan kekok untuk menghadiri sesi latihan setelah empat bulan tidak dapat melakukannya berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Sebagai tekong, saya risaukan mengenai servis kerana saya tidak dapat melakukan servis di dalam gelanggang sepanjang tempoh PKP ini.

"Saya hanya banyak melakukan servis dengan bola gantung, jadi untuk menjadikan servis saya konsisten, saya tidak berapa yakin," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen