Penang Black Panthers mengekalkan status sebagai satu-satunya pasukan yang belum kalah apabila mencipta kemenangan 2-1 ke atas Kelantan Warriors dalam Liga Sepak Takraw (STL) 2017 di Stadium MPSJ Serdang Jaya, sebentar tadi.

Juara menanti Liga Perdana itu membuat kejutan dengan mempertaruhkan Fazil Asry sebagai tekong.

Bagaimanapun, tindakan itu hampir menjerat Penang Black Panthers apabila tewas 21-14 dalam set pertama.

Bagi memburu kemenangan ketiga dalam saingan STL musim ini, tekong kebangsaan, Syahir Rosdi, dimasukkan untuk pasukan dari Utara itu bangkit menguasai set kedua (21-15) dan set ketiga (21-11).

"Secara keseluruhannya, perlawanan agak sengit. Pemain lawan, Hasman Che Hamid, merupakan tekong berpengalaman dan dia banyak menyerang apit kanan kami.

"Servis saya tidak berapa cantik hari ini. Namun, saya menggunakan kemampuan yang ada dengan menyasarkan apit kiri mereka dan faktor tidak pernah bertemu saya menyulitkan lagi permainannya sehingga kami dapat mengutip mata demi mata.

"Sebenarnya, keputusan untuk tidak meletakkan saya dalam pasukan utama malam ini adalah kerana kami mahu mengelak mencapai kemuncak prestasi terlalu awal.

"Ini membolehkan tidak kira siapa pun yang diturunkan, pasukan tetap boleh beraksi baik," kata Syahir.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, Terengganu Turtles turut melakar kemenangan dengan menundukkan Johor Tigris, 2-0.