Selepas pasukan pilihan, Kuala Lumpur Thunder, dikejutkan Kedah Eagles semalam, giliran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Guardians pula menerima nasib yang sama pada hari kedua Liga Sepak Takraw (STL) 2016, hari ini.

Penyandang juara itu tewas mengejut kepada Melaka Titans 21-13, 18-21, 18-21 dalam tempoh 75 minit saingan di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor.

Sebuah lagi pasukan pilihan, Pulau Pinang Black Panthers, menang selesa ke atas Kelantan Warriors 21-17, 21-13 selepas 45 minit sahaja.

Tekong negara, Sahidan Md. Ali, jelas mempengaruhi rentak perlawanan dengan kemasukannya yang menggantikan Khobil Sapair sehingga Melaka Titans mampu bangkit dalam set kedua dan mendahului jauh pada set penentuan.

Kata jurulatih Melaka Titans, Nazri Mohamed: “Kejayaan ini juga dibantu semangat dan sokongan rakan sepasukan selain hasil strategi berkesan kami dengan mensasarkan kutipan mata terhadap apit kanan lawan, Khairudin Adenan, yang kemudian digantikan Afiffudin Razali.”

“Seperti Kuala Lumpur Thunder, nasib yang sama menimpa kami yang pastinya satu keputusan yang kurang memuaskan hati," kata jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, pula.

"Mungkin lumrah aksi sulung, rentak permainan agak lewat dicari tetapi kami harap prestasi pasukan bakal berubah dari minggu ke minggu,” tambahnya.

Jurulatih Pulau Pinang Black Panthers, Helmi Ismail, pula meletakkan kerja keras, terutama latihan tubi secara individu anak-anak buahnya, sebagai faktor kemenangan sulung ini.

“Ketiadaan Hisyam Mat jelas mempengaruhi prestasi kami," kata jurulatih Kelantan Warriors, Mohd Rozi Abdul Rahman.

“Dia tidak dapat bersama kerana baru sahaja kematian ayahnya, empat hari lalu.

"Kami juga cuba menukar apit kanan tetapi tidak banyak perubahan dapat dirasai.

"Lawan jelas mempunyai kualiti dan kelebihan, terutama dengan servis penyumbang mata mudah daripada Syahir Rosdi."