ATM Guardians menutup tirai saingan minggu kelima Liga Sepak Takraw (STL) 2018 dengan merampas semula takhta liga setelah menewaskan Perak Bison 2-0 di Gem In Mall, Cyberjaya, hari ini.

Dibantu aksi mantap tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, yang membentuk gandingan ampuh bersama Norfaizzul Razak dan Khairudin Adenan, ATM Guardians tidak berdepan masalah besar untuk melakar kemenangan ke-10 mereka dalam saingan musim ini.

Hairul yang kurang menyengat dalam beberapa perlawanan terdahulu dilihat kembali dalam prestasi terbaik, terutama menerusi servis bertenaga dan mengelirukan, yang menjadi lubuk mata buat ATM Guardians.

Regu Perak Bison gandingan Yus Haniff Rosli, Azwan Muhrim dan Fadzil Mustapha tampak bergelut untuk memberikan saingan dan banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya sebelum tewas mudah 16-21, 14-21.

Kemenangan terbaru itu membolehkan ATM Guardians menerajui liga dengan mengumpul 20 mata, mengatasi Penang Black Panthers dan KL Thunder, masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga dengan 18 mata.

“Kami turun dengan mentaliti mahu teruskan kemenangan dan berjaya meminimumkan kesilapan. Kebimbangan paling besar adalah ketika kawalan bola pertama dan kami memperbaikinya.

“Jujur cakap kami tidak menjangkakan kemenangan mudah ini kerana Perak Bison diketahui sebagai sebuah pasukan yang sangat berkualiti. Mungkin rezeki kami lebih baik pada hari ini,” kata Hairul Hazizi.

Kekalahan buat Perak Bison menyaksikan mereka kekal menghuni tangga keenam dengan hanya 10 mata daripada 12 perlawanan.

Sementara itu, KL Thunder pula terus menghimpit rapat kedudukan dua teratas setelah mencatat kemenangan kesembilan dengan menewaskan Melaka Titans 2-1.

Regu Idham Sulaiman, Amirul Zazwan Amir dan Norhafizi Razak dikerah beraksi tiga set oleh trio Khobil Sapair, Zarlizan Zakaria dan Asyraaf Zawawi sebelum melakar kemenangan 21-19, 17-21, 21-10, sekali gus menghadiahkan kekalahan kesembilan berturut-turut buat Melaka Titans.

Kelantan Warriors pula mengukuhkan cengkaman di kedudukan empat teratas setelah melakar kemenangan ketujuh menewaskan PDRM Defenders 2-0.

PDRM Defenders yang memulakan minggu kelima dengan kejutan besar menewaskan Penang Black Panthers gagal menterjemahkan aksi sama, sebaliknya tampil longlai membenarkan Aidil Aiman Azwawi, Farid Aziz dan Wan Naim Izani Wan Nor melakar kemenangan mudah 21-13, 21-17.

Satu lagi aksi menyaksikan Johor Tigris menerusi gandingan Nor Azman Hamid, Muqlis Borhan dan Noraizat Nordin turut mencatat kemenangan ketujuh dengan menewaskan Selangor Pistons 2-0 (21-14, 21-10).


Keputusan penuh:
Kelantan Warriors mng PDRM Defenders (2-0 : 21-13, 21-17)
KL Thunder mng Melaka Titans (2-1 : 21-19, 17-21, 21-10)
Johor Tigris mng Selangor Pistons (2-0 : 21-14, 21-10)
ATM Guardians mng Perak Bison (2-0 : 21-16, 21-14)