ATM Guardians mensia-siakan peluang untuk menduduki tangga teratas Liga Sepak Takraw (STL) apabila tumpas 0-2 kepada Negeri Sembilan Antlers di Stadium Indera Mulia, Ipoh sebentar tadi.

Selepas gah menundukkan tuan rumah, Perak Bison, 2-0 semalam, Hairul Hazizi Haidzir (tekong), Norfaizzul Razak (pengumpan) dan Afifuddin Razali (perejam) anehnya gagal mengulangi persembahan sama.

Jangkaan bahawa Guardians akan mudah mengutip mata penuh dalam perlawanan itu untuk mengambil alih kedudukan selaku pemimpin liga berikutan kekalahan dua lagi pencabar, Penang Black Panthers dan Perak Bison, dalam perlawanan lebih awal ternyata meleset.

Sebaliknya, mereka tunduk kepada persembahan bersemangat tekong Antlers, Hisham Mat, Zuleffendi Sumairi (pengumpan) dan Hafizul Hayazi Adnan (perejam).

Semangat juang trio Antlers itu membuahkan ganjaran lumayan apabila menang 21-18, 21-19 dalam perlawanan selama 65 minit itu untuk mengutip kemenangan ketujuh mereka.

Antlers, yang menduduki tangga ketujuh, berpeluang memperbaiki kedudukan itu jika memenangi baki tiga perlawanan dalam saingan minggu kelapan.