Apit kiri Selangor Piston, Mohd Muqlis Borhan, menganggap pasukannya tiada pilihan selain mencetak kemenangan dalam dua aksi penting Liga Sepak Takraw (STL) minggu ini bagi mengelak daripada zon tidak selamat.

Selangor yang menduduki tangga ketujuh ketika ini perlu mengatasi ATM Guardians dalam aksi pada Jumaat ini bagi memastikan kelebihan mereka.

Ia sekaligus bagi mengelak aksi play-off dan dalam masa sama tidak mahu terjerumus dalam dua tangga tercorot yang mana bakal memberikan risiko besar buat pasukan ini.

Situasi sukar dihadapi Selangor adalah mengatasi Penang Black Panthers yang mendahului pasukan lain, namun mereka tiada pilihan lain.

“Mungkin saingan ini agak sengit kerana masing-masing tidak mahu turun ke divisyen satu. Mungkin ATM akan memberikan tentangan sengit kepada kami tetapi kami akan cuba yang terbaik,” kata Muqlis.

Pengurus pasukan, Mustakin Mairin, turut mengharapkan kekuatan mental anak buahnya bukan lagi punca mereka tewas di tangan ATM mahupun Black Panthers selepas isu itu menjadi punca utama mereka kini dalam kedudukan bahaya.

“Kami lemah pada hujung-hujung perlawanan. Kami tidak dapat menamatkan perlawanan pertama dengan kemenangan. Kami memberi ruang kepada pasukan lawan untuk memenangi set pertama,” kata Mustakim.