Perak Bison meraih kemenangan 2-0 ke atas ATM Guardians dalam perlawanan Liga Sepak Takraw (STL) di Spice Arena, Pulau Pinang hari ini.

Beraksi dalam kondisi terbaik, Bison merealisasikan harapan untuk meraih kemenangan pertama di gelanggang baru itu.

Aksi dominan sejak awal perlawanan menyaksikan Bison mudah mencatatkan kemenangan 21-15, 21-17.

Sementara itu, pendalulu liga, Johor Tigris, dikejutkan oleh pendatang baru musim ini, Negeri Sembilan Antlers.

Skuad dari selatan tanah air itu, yang diperkuatkan dengan gandingan Farid Aziz, Muqlis Borhan dan Noraizat Nordin, sejak awal lagi sudah membayangkan kemenangan ketujuh mereka musim ini.

Namun, mereka lupa bahawa Antlers juga memasang impian sama untuk melonjakkan kedudukan.

Seperti yang diduga, Tigris mudah memenangi set pertama 21-11.

Bagaimanapun, Antlers yang dibarisi Wirawut Na Nongkhai, Syazreen Qamar Salehan dan Hafizul Hayazi Adnan, tidak mudah mengalah untuk bangkit dalam dua set berikutnya dengan kemenangan 21-17, 21-19.

Keputusan lain:

PDRM DEFENDERS 2 TERENGGANU TURTLES 1
KELANTAN WARRIORS 2 SABAH MOUNTAINEERS 0