STL: Baki empat perlawanan tentukan juara liga -- ATM Guardians

Oleh Farizal Yusoff 15 November 2018 2544
STL: Baki empat perlawanan tentukan juara liga -- ATM Guardians
Berbaki empat perlawanan dan mendahului liga dengan kiraan set menang yang kecil, ATM Guardians mahu pemainnya bertenang dan terus fokus dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, minggu ini.

Mengetahui empat pasukan yang bakal ditentang mereka, iaitu PDRM Defenders, Kuala Lumpur Thunder, Selangor Pistons dan Kelantan Warriors bukanlah calang-calang pasukan, hajat menjuarai STL pasti berkubur  jika tersilap langkah.

Di sebalik perhitungan menarik itu, ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, tetap tenang mengatur strategi dan mahu memberikan fokus kepada dua pertembungan awal dahulu.

"Kami akan memberi tumpuan kepada perlawanan menentang PDRM Defenders, Sabtu ini dan Kelantan Warriors, Ahad ini.

"ATM Guardians akan turun dengan semangat yang tinggi dan berazam untuk mencari kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan di puncak liga," katanya.

Ditanya kekuatan yang ada pada skuad Sang Saka Biru dan Merah Putih, Aswadi menyifatkan kedua-dua pasukan itu  memiliki semangat juang yang tinggi.

"Kalau mereka berada pada prestasi terbaik, sukar untuk mana-mana pasukan mengalahkan mereka.

"PDRM Defenders memiliki Syafiq Rahman yang mempunyai daya kepimpinan tinggi. Begitu juga, Kelantan Warriors yang pasti akan menurunkan apit kiri kebangsaan, Aidil Aiman Zawawi, yang bijak membaca permainan," katanya.

Aswadi juga mengesahkan pemainnya tidak menghadapi sebarang masalah kecederaan dan bakal mempertaruhkan trio terbaik untuk memburu dua kemenangan penting minggu ini.

"Alhamdulillah, semua pemain cergas sepenuhnya dan kami berdoa agar kejayaan menjadi milik ATM Guardians dan terus mengungguli liga," katanya.

Untuk rekod, kemenangan 2-0 ke atas Melaka Titans membolehkan ATM Guardians memungut 22 mata, kembali memintas Penang Black Panthers sebagai pendahulu STL melalui kiraan set menang. Kuala Lumpur (KL) Thunder pula ketinggalan dua mata di belakang (20 mata) di tangga ketiga.
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen