STL: ATM Guardians kekal rekod bersih, KL Thunder tambah duka Black Panthers

Oleh Penulis Jemputan 19 Oktober 2018 319
STL: ATM Guardians kekal rekod bersih, KL Thunder tambah duka Black Panthers
Walaupun beraksi dalam kecederaan, apit kanan veteran, Khairudin Adenan, tetap tampil dengan libasan bertenaga untuk membantu ATM Guardians mencatat kemenangan straight set 2-0 ke atas Melaka Titans dalam aksi Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018, di Gem In Mall, Cyberjaya, malam ini. 

Khairuddin bersama gandingannya, tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, dan Norfaizzul Razak melakar kemenangan 21-19, 21-16 ke atas Melaka yang diketuai apit kiri, Hasif Yusof, yang bergandingan dengan Sahidan Ali dan Asyraaf Zawawi. 

Kemenangan kelima berturut-turut itu membantu ATM Guardians mengekalkan rekod tanpa kalah dan mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas STL Premier dengan 10 mata tatkala Melaka pula kekal terperosok di tangga tercorot dengan hanya dua mata.  

Jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah memuji disiplin serta karakter yang ditunjukkan regunya dalam memastikan kemenangan sambil berharap pemainnya tidak terbuai dan kekal fokus untuk menghadapi dua lagi aksi penting minggu ini.   

“Kami tahu Melaka akan cuba bangkit daripada permulaan buruk dan saya sudah ingatkan pemain supaya tidak mengambil mudah perlawanan ini. Jelas sekali mereka memberi tumpuan penuh dan tidak leka.

"Melaka menyukarkan kami, terutama dalam set pertama, dan kami juga memberikan mata mudah kerana beberapa kesilapan daripada Khairuddin. 

“Prestasi Khairudin sedikit terjejas kerana dia sebenarnya bermain dalam kecederaan tetapi saya kagum dengan kesungguhan dan komitmen ditunjukkannya yang mahu terus bermain.

"Saya juga memilih untuk tidak buat pertukaran dan kekalkan regu sama sehingga tamat permainan dan rasa gembira kerana percaturan itu menjadi.      

“Saya mahu pemain-pemain segera alihkan perhatian kepada perlawanan seterusnya menentang PDRM esok. Misi kami adalah mengekalkan momentum kemenangan dan melihat kepada prestasi semasa, saya berkeyakinan kami boleh melakukannya,” kata Aswadi. 

Dalam pada itu, KL Thunder pula kembali ke landasan kemenangan dan menambah duka Penang Black Panthers apabila menghadiahkan juara bertahan itu kekalahan kedua berturut-turut.  

Kemasukan tekong gantian, Idham Sulaiman, dalam set kedua membantu naib juara musim lalu itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk melakar kemenangan 2-1 (17-21, 21-15, 21-16) ke atas trio Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Zaim Razali, sekali gus melonjak ke tangga kedua liga.

“Kedua-dua pasukan sebenarnya mempunyai kekuatan seimbang, ia adalah mengenai pasukan mana kurang melakukan kesilapan. Kami melakukan kesilapan dalam set pertama dan setelah kenal pasti apa yang tidak kena, saya masukkan Idham ganti Aizat (Azmi). 

“Kami kembali dalam permainan dan berjaya mencatat satu kemenangan yang boleh dikatakan kemenangan besar kerana mereka adalah juara bertahan,” kata jurulatih KL Thunder, Azhar Sarabini. 

Perlawanan lain menyaksikan Johor Tigris menerusi trio Azman Hamid, Muqlis Borhan dan Ashraf Azizan mencatat kemenangan ketiga dengan menewaskan Perak Bison 2-1 (21-17, 16-21, 21-13). 

Gandingan Farhan Adam, Norshahrudin Ghani dan Shafiq Shariff pula membantu Selangor Pistons melakar kemenangan 2-0 (21-19, 22-20) ke atas Kelantan Warriors. 

Keputusan (19 Oktober) : 

Johor Tigris mn Perak Bison 2-1  (21-17, 16-21, 21-13)
Selangor Pistons mn Kelantan Warriors 2-0  (21-19, 22-20)
KL Thunder mn Penang Black Panthers 2-1 (17-21, 21-15, 21-16)
ATM Guardians mn Melaka Titans 2-0 (21-19, 21-16)

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen