Lebih sejam Terengganu Turtles cuba dikekang Johor Tigris, namun hajat lawan untuk meranapkan rekod tanpa kalah pasukan Pantai Timur itu tidak tercapai apabila pendahulu carta mata Liga Sepak Takraw (STL) 2016 itu tetap menang 21-16, 13-21, 21-15, hari ini.

Dalam aksi di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor itu, pemain tekong Terengganu Turtles, Izurin Refin/Zulkifli Razak, pelibas, Kamal Alfiza Shafie dan pengumpan, Azwan Muhrim, terus membawa Turtles jauh ke depan dengan 18 mata menerusi kemenangan kesembilan itu ke atas Haidzir Rashid, Norhaffizi Razak dan Lutfil Hadi Azmi.

Kamal juga melenyapkan keraguan terhadap prestasinya ekoran kecederaan yang menimpa apit kanan utama, Fadzli Roslan, apabila bergandingan mantap dengan Izurin mahupun Zulkifli yang memungut mata mudah dengan servis yang mengasak sebelah kiri Tigris.

Kuala Lumpur Thunder pula kini mengintai posisi pencabar terdekat Turtles, Penang Panthers, selepas menghimpun 10 mata dengan membenam Kedah Eagles 21-16, 21-17 dalam tempoh 55 minit untuk kekal di tangga ketiga.

Ahmad Aizat Mohd. Noor Azmi, Hafiz Rahman dan Amirul Zazwan Amir mengukuhkan status itu, sekali gus membalas dendam kekalahan pusingan pertama mereka kepada lawan yang menampilkan Nazirul Akram Razali, Shahrol Nizam Romli dan Zuleffendi Sumari.

Perak The Bos Gaurus mengukuhkan cengkaman sebagai peneraju carta mata Divisyen Satu Liga Sepak Takraw (STL) 2016 dengan mencapai kemenangan keempat dengan menundukkan Pahang 21-17, 21-14.

Kini mengumpul lapan mata, mereka perlu menunggu pertembungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A dengan Putrajaya pagi esok untuk memastikan sama ada terus di situ atau kembali mengekori regu kebangsaan itu (enam mata) bagi minggu kedua saingan.

Tekong, Meor Zulfikar Amin, apit kanan, Fadzil Mustafa, dan apit kiri, Hafiz Zulkifli, mengambil masa 41 minit untuk merangkul dua mata lagi terhadap Pahang yang dibarisi Syazwan Husin, Anas Muhaimi Asri dan Irwan Shah Rizal Amir Hamzah.

PSM A menerusi gandingan Said Ezwan Said De/Idham Sulaiman, Ridaudin Ghani dan Safarudin Abu Bakar terpaksa berhempas-pulas untuk meraih kemenangan ketiga 19-21, 21-11, 21-11 ke atas Sabah (Radzi Awang, Jaxon Amputong, Daut Amba).

Regu 'adik', PSM B (Faiz Roslan/Iskandar Zulkarnain Salim, Nazirul Akmal Rahman, Azmi Kadir/Hidayat Rashid Daud) pula ditimpa kekalahan sulung kepada Putrajaya 10-21, 17-21 yang menyaksikan kembalinya Zulkarnain Arif atau digelar Abu di samping Nasiruddin Manjur Ahmad, Putra Aidil Israfil Kamaruzaman serta Fadzlihaimi Jamaludin yang bergilir-gilir bertindak sebagai perejam atau apit kanan.


Keputusan Liga Ekspres Perdana STL hari ini:

Kuala Lumpur Thunder mengalahkan Kedah Eagles 2-0 (21-16, 21-17)
Terengganu Turtles mengalahkan Johor Tigris 2-1 (21-16, 13-21, 21-15)

Jadual Divisyen 1 STL esok:
10am: Putrajaya lawan PSM A
11am: Sabah lawan PSM B
12pm: Sarawak lawan Selangor
1pm: Labuan lawan Perlis

Jadual Liga Ekspres Perdana STL esok:
Johor Tigris lawan ATM Guardians (4pm), Kedah Eagles lawan Penang Black Panthers (5.30pm).