Penang Panthers merampas teraju carta mata Divisyen Perdana, Liga Sepak Takraw (STL) 2016 apabila mencapai misi berganda -- memenangi perlawanan ke-13 dan berjaya melihat pendahulu asal, Terengganu Turtles, tersungkur lagi.

Tekong, Syahir Rosdi; pelibas, Azlan Alias, dan pengumpan, Zaim Razali, mengambil masa 49 minit untuk mengalahkan ATM Guardians, 21-17, 21-17, sekali gus terikat 22 mata dengan Turtles, namun jurang set menang-kalah berpihak kepada pasukan utara itu, 18 berbalas 15.

Aksi di Stadium MPSJ, Serdang Jaya itu, turut menyaksikan kekalahan kedua Terengganu Turtles, kali ini kepada Kuala Lumpur Thunder, selepas rekod tanpa kalah mereka diranapkan Panthers minggu lalu.

Thunder menang 21-13, 21-16, juga selepas 49 minit, untuk menjadi pasukan ketiga mara ke separuh akhir dengan 14 mata.

Panthers menangguhkan hajat ATM yang turut perlu mengesahkan dua mata liga ke separuh akhir menerusi perlawanan terakhir dengan Kedah Eagles, Sabtu ini.

Pemburuan dua tiket Divisyen Perdana musim depan pula semakin sengit dengan teraju Divisyen Satu hari ini berpindah tangan kepada Negeri Sembilan The Jangs sambil empat pencabar terdekatnya terikat 14 mata.

The Jangs memintas Selangor selepas menewaskan Sabah, 21-13, 21-12, sambil pendahulu asal itu turun ke tempat kelima gara-gara dikejutkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 10-21, 11-21.

Negeri Sembilan kini beroleh 16 mata, diikuti Perak The Bos Gaurus yang menumpaskan Labuan, 21-9, 21-13, namun jurang set menang-kalah menyebelahinya, 9 berbalas 8 milik Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A.

Regu kebangsaan itu (Idham Sulaiman, Ridaudin Ghani dan Safarudin Abu Bakar) mengambil masa 47 minit untuk menundukkan Pahang 21-15, 21-16, manakala kemenangan PDRM melonjakkannya ke tempat keempat dengan perbezaan mata menang-kalah, 47 berbanding 38 milik Selangor.

PDRM hanya melalui tempoh 37 minit untuk menjinakkan Selangor, menyanggah andaian mereka bakal berentap sengit berikutan reputasi dan pengalaman masing-masing.

Sebuah lagi regu berpengalaman, Putrajaya, pula kekal di tangga keenam sekalipun mengumpul 12 mata menerusi kemenangan keenam, 21-6, 21-10 terhadap Sarawak yang dibarisi pemain pelapis negara.

Keputusan

Liga Ekspres Perdana Sepak Takraw (STL) hari ini:

Penang Black Panthers mn ATM Guardians 2-0 (21-17, 21-17)
Kuala Lumpur Thunder mn Terengganu Turtles 2-0 (21-13, 21-16)

Jadual

Liga Ekspres Perdana Sepak Takraw(STL):

Jumaat (9 Disember 2016): Kedah Eagles lwn Johor Tigris (8pm), Kelantan Warriors lwn Melaka Titans (9.30pm).
Sabtu (10 Disember 2016): ATM Guardians lwn Kedah Eagles (4pm), Terengganu Turtles lwn Kelantan Warriors (5.30pm).
Ahad (11 Disember 2016): Melaka Titans lwn Kuala Lumpur Thunder (4pm), Johor Tigris lwn Penang Black Panthers (5.30pm).

* Stadium MPSJ Serdang Jaya, Selangor