Di sebalik kontroversi yang melanda skuad takraw kebangsaan ketika Kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok bulan lalu, Malaysia masih mampu menarik nafas lega apabila pasukan kuadran negara sudah mula menunjuk taring untuk menjadi dominasi dalam acara itu.

Hasil inisiatif oleh Malaysia, acara kuadran yang membariskan empat pemain dalam satu pasukan itu tampak memberikan hasil positif.

Dalam dua kejohanan disertai, Kejohanan Antarabangsa Lima Negara pada Ogos dan Piala Raja Thai dua bulan kemudian, Malaysia meraih pingat emas.

Justeru, ia seakan memberi petanda, Malaysia sudah mempunyai lubuk untuk menuai hasil menjelang Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

"Kami sudah bersedia untuk menghadapi Thailand tetapi acara ini baru dipertandingkan, jadi kami tidak tahu cara dan corak permainan. Jadi, persiapan dan latihan kami akan lebih padat selepas ini," kata pemain sepak takraw kuadran negara, Norhafizi Abdul Razak.

Bagi pemain, mereka yakin Malaysia mampu menjadikan acara kuadran itu sebagai dominasi memandangkan negara lain menghadapi kesukaran untuk mengadaptasi kepada sistem permainan, apatah lagi Thailand yang seakan-akan tidak berminat untuk menyertainya.

Sama ada Thailand sertai ataupun tidak kelak, Malaysia sudah pun melaung amaran untuk bertemu dengan seteru mereka itu.

"Untuk Sukan Sea, saya rasa ia lebih mencabar kerana ia (acara kuadran) adalah kejohanan pertama kali di peringkat antarabangsa. Negara-negara lain pun sudah mendapat rentak masing-masing," kata seorang lagi pemain, Muhammad Kamal Ishak.

Sukan Sea Singapura 2015 adalah pencapainan terbaik skuad sepak takraw negara sepanjang penyertaan dalam temasya itu sejak 2005, dengan meraih satu emas, dua perak dan dua gangsa.