Bekas pengendali kebangsaan, Haris Abdul Rahman, secara peribadi berpendapat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) mengenakan hukuman yang lebih berat susulan tindakan PSM tetap membenarkan pemain yang terlibat isu doping bersaing dalam Liga Sepak Takraw (STL).

Meskipun PSM mengeluarkan hujah STL tidak mempunyai kaitan dengan ISTAF, namun badan induk antarabangsa itu mengeluarkan amaran agar pemain dan pegawai yang terlibat tidak boleh terbabit dengan mana-mana kejohanan atau aktiviti berkaitan sepak takraw.

"PSM yang bertanggungjawab dalam hal ini. Dia tahu kedudukan ISTAF, jadi mereka lebih mahir dengan hubungan di antara dua pihak ini," katanya.

Haris juga melahirkan kebimbangan ia mampu menggugat impian Malaysia untuk meraih emas dalam Sukan SEA tahun hadapan jika hukuman berat dikenakan terhadap individu terlibat.

Harapan Haris ialah PSM mampu untuk menjawab segala tuduhan bagi membersihkan nama pemain dan pegawai terlibat jika yakin mereka tidak bersalah.

"Saya percaya (Presiden PSM) Datuk Ahmad (Ismail) sudah bersedia untuk mengatasi masalah ini kerana dia sudah banyak pengalaman bersama PSM.

"Dia juga merupakan individu nombor 2 di dalam ISTAF, jadi tidak mungkin perkara ini tidak dapat diselesaikan."

Sementara itu, ISTAF sedia berbincang untuk memberi kelonggaran terhadap pemain dan jurulatih untuk terlibat dengan STL selepas dihubungi beberapa pegawai sukan Malaysia.

Cuma, ISTAF meminta PSM menunjukkan kesungguhan untuk mencari jalan penyelesaian berhubung nasib enam pemain dan tiga pegawai rasmi yang digantung buat sementara waktu.

"Saya memohon agar presiden PSM dapat membuat permintaan untuk pengecualian penggantungan supaya pemain terlibat dapat menghadapi pertandingan separuh akhir STL pada minggu pertama Disember ini," kata Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader.

Halim juga sedia datang ke Malaysia dalam masa terdekat untuk berbincang dengan presiden PSM bagi mencari jalan penyelesaian.