Kelantan Warriors mahu melupakan kejayaan dramatik menumpaskan juara bertahan, Penang Black Panthers, 2-0 (21-14, 25-23), malam tadi.

Sebaliknya, mereka mahu memberikan sepenuh perhatian dalam pertarungan menentang Sabah Mountaineers dalam aksi ketiga Kumpulan A, Piala Juara-Juara STL di Gem In Mall, Cyberjaya, malam ini.

Ketua jurulatih Kelantan Warriors, Mohd Rozlan Ismail, mahu barisan pemainnya mengekekalkan fokus dan membuang sikap terlalu yakin kerana dalam sepak takraw, apa sahaja boleh berlaku.

"Kami sedar ini peluang terbaik untuk mara ke separuh akhir selepas mengejutkan Penang Black Panthers.

"Saya sering menasihatkan pemain supaya sentiasa fokus dan jangan pandang rendah kemampuan Sabah Mountaineers biarpun mereka tewas dalam dua perlawanan berurut-turut.

"Mereka perlu dihormati kerana memiliki pemain muda yang baik dan mampu membuat kejutan.

"Lagipun, pelibas kebangsaan, Hanafiah Dollah, bersama mereka sekarang," katanya.

Ditanya pemain yang bakal diturunkan dalam aksi terakhir kumpulan itu, Rozlan mahu melihat tahap kecergasan pemain sebelum membuat sebarang keputusan.

"Pemain telah memberikan segala-galanya semasa menentang juara bertahan malam tadi dan kami akan memilih pemain yang cergas sepenuhnya untuk mengharungi satu lagi aksi yang dijangka sengit," katanya.

Rozlan juga mengesahkan tekong utama, Hisyam Mat, tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan tetap bersemangat untuk membantu pasukan.

"Hisyam memiliki semangat juang yang tinggi dan sentiasa mahu membantu pasukan untuk mencari kemenangan," katanya.

Rozlan juga berterima kasih kepada seluruh penyokong Kelantan Warriors yang tidak pernah jemu menyokong perjuangan mereka.

"Terima kasih kepada penyokong setia yang berdiri teguh di belakang pemain sepanjang kejohanan ini berlangsung. Kami amat menghargainya," katanya.