Piala Juara-Juara STL: Guardians hormati kekuatan China Great Wall

Oleh Farizal Yusoff 25 Disember 2019 541
Piala Juara-Juara STL: Guardians hormati kekuatan China Great Wall
ATM Guardians mahu meneruskan rentak kemenangan dengan menjadikan pasukan jemputan, China Great Wall, sebagai mangsa terbaru dalam saingan Kumpulan B, Piala Juara-Juara STL di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru hari ini.

Segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Indonesia Garuda malam tadi, Guardians diingatkan agar tidak terlalu yakin dan memandang rendah keupayaan China Great Wall biarpun lawan mereka itu kini berada di dasar liga tanpa sebarang kemenangan.

Ketua jurulatih Guardians, Aswadi Abdullah, mahu pemainnya membuang sikap terlalu yakin kerana apa sahaja boleh berlaku dalam pertandingan sepak takraw.

"Biarpun mereka berada di tempat terakhir Kumpulan B, China Great Wall tetap perlu dihormati kerana memiliki tekong berpengalaman, Wang Wei, yang mampu menghasilkan servis 'ace'.

"Kami akan turun dan bermain seperti biasa untuk memburu kemenangan kedua sambil mengintai peluang ke separuh akhir," katanya.

Aswadi juga mengesahkan akan menurunkan tekong kidal, Azwari Ishak, sambil dibantu pelibas, Muhaimin Che Bongsu dan Norfaizzul Razak terlebih dahulu.

"Dua pemain negara (Hairul Hazizi dan Afifuddin Razali) akan digunakan bila perlu sebagaimana aksi bertemu Indonesia Garuda malam tadi.

"Kami yakin mampu meningkatkan permainan dan kemenangan pasti memberikan lebih motivasi untuk menghadapi aksi terakhir kumpulan menentang juara bertahan, Penang Black Panthers," ujarnya.

Untuk rekod, ATM Guardians berada di tangga ketiga Kumpulan B dengan dua mata hasil daripada satu kemenangan manakala Great Wall di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Kredit Foto: STL

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen