Perejam Perak Bison, Fadzil Mustapha, bertekad memberi persembahan terbaik dalam saingan Piala Juara-Juara STL 2018 yang akan berlangsung di Gem In Mall, Cyberjaya, Jumaat ini.

Selepas melakar kebangkitan dramatik dalam dua minggu terakhir peringkat liga untuk menamatkan cabaran di kedudukan keempat, Fadzil yakin pasukannya bersedia meneruskan momentum mereka.

Bagi Fadzil, kejayaan ke atas PDRM Defenders dalam perlawanan terakhir liga mengubah kedudukan Perak Bison untuk melonjak ke tangga keempat.

"Kami melalui detik-detik cemas musim ini dan hampir gagal ke Piala Juara-Juara kerana menduduki kedudukan kurang memberangsangkan pada satu ketika.

"Jika kalah kepada PDRM, kami berada di kedudukan ketujuh. Bagaimanapun, berkat kesungguhan serta kerjasama dan kegigihan setiap anggota pasukan, kami berjaya akhirnya.

"Saya berharap kami mampu mempamer perwatakan sama dalam Piala Juara-Juara, bermula dengan pertemuan dengan Johor Tigris, Jumaat ini," kata perejam terbaik STL 2017 itu.

Perak Bison diundi dalam Kumpulan B bersama ATM Guardians, Johor Tigris dan Negeri Sembilan Antlers.

Mengenai peluang Bison dalam kumpulan itu, Fadzil berkata setiap pasukan mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak boleh dipandang mudah.

"Pencapaian lalu tidak boleh diambil kira kerana ini kejohanan baru.

"Walaupun Negeri Sembilan Antlers pendatang baru, mereka bukan calang-calang pasukan. Mereka adalah juara Divisyen 1 dan mempunyai kemampuan tinggi," tambah Fadzil selepas menjalani latihan malam tadi.

"Pasukan yang mampu mengutip mata melalui ketepatan servis tekong mempunyai kelebihan kerana kemampuan perejam hampir sama."