Piala Juara-Juara STL: ATM Guardians gembira Hairul kembali cergas

Oleh Farizal Yusoff 15 Disember 2018 651
Piala Juara-Juara STL: ATM Guardians gembira Hairul kembali cergas
Ada berita gembira daripada kem ATM Guardians apabila tekong utama mereka, Hairul Hazizi Haidzir, disahkan cergas dan boleh diturunkan menentang Kelantan Warriors dalam saingan separuh akhir Piala Juara-Juara STL di Gem In Mall, Cyberjaya, petang ini.

Sebelum ini, ATM Guardians gelisah dengan keadaan Hairul Hazizi yang masih samar dan diminta berehat akibat tekanan darah rendah.

Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, gembira dengan perkembangan kesihatan tekong utamanya itu dan yakin pemain itu mampu memberikan aksi terbaik bagi mengintai tiket ke final.

"Alhamdulillah, Hairul sudah mula menjalani latihan dan rasanya tidak ada sebarang masalah untuk dia disenaraikan.

"Begitu juga dengan apit kanan, Asrie Isa, yang sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan. 

"Kami sudah menjalani latihan intensif bagi menghadapi aksi separuh akhir dan berharap rezeki akan memihak kepada ATM Guardians," katanya.

Aswadi yang ditabalkan jurulatih terbaik Liga Sepak Takraw (STL) musim ini, mengakui lawan mereka, Kelantan Warriors, semakin meningkatkan prestasi dan kejayaan mereka meloloskan diri ke separuh akhir membuktikan kebenaran itu.

"Kami perlu sentiasa fokus dan berhati-hati berdepan mereka.

"Biarpun kami mempunyai kelebihan psikologi dengan memenangi kedua-dua pertemuan liga, namun itu sudah menjadi sejarah.

"Ia pertandingan dengan suasana yang berbeza. 

"Kami perlu mengekalkan fokus dan mengurangi kesilapan bagi mencipta kejayaan ke final," katanya. 

Untuk rekod, ATM Guardians muncul juara Kumpulan B dengan rekod bersih tiga kemenangan.

Mereka bakal menentang naib juara Kumpulan A, Kelantan Warriors.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, juara bertahan, Penang Black Panthers, akan membuat perhitungan dengan Negeri Sembilan Antlers.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen