Piala Juara-Juara STL: Antlers tunai janji

Oleh Farizal Yusoff 23 Disember 2019 918
Piala Juara-Juara STL: Antlers tunai janji
Negeri Sembilan Antlers bangkit daripada kekalahan dalam set kedua untuk mengejutkan Kelantan Warriors 2-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan A, Piala Juara-Juara STL di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru semalam.

Percaturan taktikal yang menarik dengan memasukkan tekong utama, Hisyam Mat, pada mata akhir 20-19 berhasil apabila servisnya mengelirukan lawan sambil libasan apit kanan negara, Hafizul Hayazi Adnan, cukup untuk membuatkan Warriors berputih mata.

Tekong kidal Antlers berusia 28 tahun itu juga menganggap rezeki berpihak kepada pasukannya biarpun Warriors memberikan cabaran sengit, terutama dalam set penentuan.

"Alhamdulillah, kami beraksi mengikut strategi yang dirancangkan jurulatih dan memberi lebih fokus untuk menguatkan kawalan gelanggang.

"Kami tidak mudah tertekan biarpun Warriors memenangi set kedua (21-10), sekali gus mengheret kami beraksi dalam set penentuan," katanya.

Tekong kelahiran Kelantan itu juga mahu rakan sepasukannya terus fokus untuk memburu kemenangan kedua menentang Korea Haechi, petang ini bagi membuka laluan selesa ke separuh akhir.

"Kami perlu memperbaiki segala kelemahan yang ada sebelum turun menentang pasukan pilihan, Korea Haechi, yang hadir dengan pemain berpengalaman.

"Satu aksi yang dijangka sengit dan saya berharap penyokong dapat turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan padu," ujarnya.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen