Pemain Kelantan Warriors dapat duit raya

Oleh Farizal Yusoff 18 Mei 2020 314
Pemain Kelantan Warriors dapat duit raya
Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) terus komited menjaga kebajikan pemainnya dan kali ini menghulurkan sumbangan duit raya kepada semua pemain Kelantan Warriors.

Presiden GASTAK, Zuraidin Abdullah, berkata sumbangan Aidilfitri ini sebagai tanda ingatan persatuan itu kepada pemain yang telah banyak berkorban mengharumkan nama negeri dalam sukan sepak takraw.

"Selain itu, sumbangan ini sebagai tanda kebersamaan mengharungi saat sukar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan.

"Insya-Allah, sedikit sumbangan ini boleh memberikan senyuman kepada mereka dan keluarga sempena menyambut hari lebaran,"katanya.





Sementara itu, Timbalan Exco Belia, Sukan dan NGO Kelantan itu juga berpuas hati dengan persiapan Kelantan Warriors dalam menghadapi musim baru Liga Sepak Takraw (STL), Ogos depan.

"Semua pemain diminta berlatih di rumah masing-masing bagi menjaga kecergasan dan dibimbing oleh jurulatih melalui rakaman video.

"Setakat ini kami berjaya mengadakan aksi persahabatan antarabangsa menentang skuad Sumatera Barat pada akhir Februari lalu.

"Insya-Allah, jika keadaan kembali tenang dan penularan wabak Covid-19 berjaya ditangani kerajaan, Kelantan Warriors akan kembali menjalani latihan seperti biasa," katanya lagi.

Untuk rekod, Kelantan Warriors menduduki tangga kelima STL dan layak bersaing dalam saingan Piala Juara-Juara musim lalu.

Bagaimanapun, mereka terkandas dalam saingan Kumpulan A yang turut disertai Perak Bison, Negeri Sembilan Antlers, Korea Haechi dan Singapore Lions.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen