Kejayaan menjuarai musim ketiga saingan Liga Sepak Takraw (STL) memberi motivasi tambahan buat Penang Black Panthers untuk menghadapi kejohanan Piala Emas Khir Johari, bulan depan.

Black Panthers menjadi pasukan terbaik dalam saingan STL musim ini selepas berjaya menundukkan cabaran Kuala Lumpur Thunder dengan keputusan straight sets dalam final.

Menyifatkan Black Panthers mempunyai disiplin tinggi serta kerjasama yang kukuh, pengurus pasukan, Jeffary Abdul Malik, menyasarkan lebih banyak kejayaan.

Jeffary turut menganggap kehadiran tekong kebangsaan, Syahir Rosdi, memberi impak yang cukup besar terhadap kekuatan pasukan Penang Black Panthers.

Ia terbukti apabila Syahir dipilih sebagai tekong terbaik di samping merangkul anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) musim ini.

"Memang dia adalah teraju utama tetapi pada masa sama, dia mengalami tekanan kerana dia juga memikul tanggugnjawab selaku tekong no.1 Malaysia.

"Jadi, dia perlu kekalkan prestasi sedia ada dengan bantuan jurulatih," ulas Jeffary.

Dalam pada itu, apit kiri Black Panthers, Muhammad Zaim Razali, bersyukur apabila penyertaan kali ketiga dalam saingan STL akhirnya dibalas dengan kejuaraan.

Jelasnya lagi, persiapan yang cukup rapi oleh Black Panthers -- termasuk penilaian semula aksi setiap perlawanan menerusi rakaman video -- memastikan kejayaan mereka musim ini.

"Persiapan oleh jurulatih sangat teliti. Kami kaji setiap perlawanan pihak lawan. Kami melihat cara mereka bermain dan taktik yang digunakan.

"Dari situ, juga kami mengkaji kelemahan kami dan kami cuba perbaiki kelemahan tersebut," jelas Muhammad Zaim.