Juara bertahan, Kelantan, mahu mengekalkan status sebagai johan keseluruhan dalam Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Kluang, Johor dari 18 hingga 23 Mac ini.

Ketua Unit Sukan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Muhammad Nuzulhan Muhammad Zain, berkata misi utama Kelantan ialah mengekalkan kejuaraan yang dimenangi di Kota Bharu, tahun lalu.

Keyakinan tinggi itu turut bersandarkan persiapan rapi, termasuk meneruskan program Libasan Emas yang melibatkan lima fasa latihan dan memiliki ramai pemain yang cukup berkualiti.

“Latihan berpusat selama lima fasa hasil daripada program Libasan Emas diuruskan oleh Pengerusi Teknik Sepak Takraw (Roslin Hamzah) dan dibantu oleh jurulatih berpengalaman.

“Selain itu, kami juga masih mempunyai tekong terbaik MSSM tahun lepas, Mohd Alif Hakimi Razali, dan saya yakin pengalamannya mampu membantu rakan sepasukan untuk menjulang kejuaraan,” katanya.

Ditanya negeri mana mampu memberi cabaran yang kuat kepada Kelantan, Muhammad Nuzulhan melihat Pulau Pinang, Perak dan Terengganu akan sekali lagi menampilkan barisan terkuat.

“Jangan lupa, tuan rumah, Johor, juga dilihat mampu membuat kejutan berdasarkan persiapan rapi yang telah mereka lakukan."

Untuk rekod, Kelantan ditabalkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sepak Takraw MSSM di Kota Bharu tahun lalu apabila meraih dua pingat emas (acara regu bawah 18 dan berpasukan bawah 12), satu perak dan dua gangsa..