Skuad sepak takraw Kelantan yakin mampu mara ke separuh akhir kejohanan Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (MSKPPM) Ke-44 yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Modenas, Gurun Kedah dari 17 hingga 22 Disember ini.

Pengurus pasukan, Mohamad Zawawi Che Yusoff, berkata gabungan 12 pemain terbaik yang dipilih hasil daripada Kejohanan Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) Kelantan pada 2 November lepas yang diadakan di Wisma Sukan, Telipot mampu memberi saingan hebat kepada pasukan lain.

“Pemilihan pemain dibuat berdasrkan kebolehan individu mengikut posisi masing-masing. Tidak semestinya regu yang menjadi johan dan naib johan kejohanan negeri layak secara automatik untuk mewakili negeri.

“Alhamdulillah, panel pemilih telah berjaya memilih 12 pemain terbaik kejohanan gabungan pemain baru dan berpengalaman. Kita masih mengekalkan tekong terbaik, Zaimi (Mohd Zaimi M.M. Aboo Jubar) dan apit kanan berpengalaman, Shamsuri Ismail.

Ditanya mengenai sesi latihan yang bakal diadakan, Zawawi menerangkan latihan diadakan secara dua fasa dan pemain akan mula menjalani latihan intensif mulai hari ini di Wisma Sukan, Majlis Sukan Negeri (MSN), Telipot.

“Kami akan mengadakan dua fasa latihan, iaitu fasa pertama mulai hari ini sehingga 6 Disember depan sebelum menghadapi fasa kedua dari 12 hingga 15 Disember depan. Kontinjen akan bertolak ke Kedah pada 16 Disember depan,” katanya.

Untuk rekod, kontinjen sepak takraw PSKPP Kelantan pernah muncul sebagai juara berpasukan dalam kejohanan yang diadakan di Perlis pada 2010.