Kelantan juara berganda 

Oleh Farizal Yusoff 16 November 2017 866
Kelantan juara berganda 
Kelantan mencipta kejayaan berganda apabila menjuarai kategori regu dengan mengalahkan Pahang  2-0 dalam Kejohanan Sepak Takraw Sukan Murid Orang Asli Peringkat Kebangsaan Ke-10 di Wisma Sukan, Telipot, Kota Bharu, pagi tadi.

Selepas menjuarai acara berpasukan mengalahkan Pahang 2-1, petang semalam, regu Kelantan B sekali lagi mara ke final dengan bergaya untuk bertemu pencabar utama, Pahang B.

Turun dengan penuh semangat, Kelantan B, yang diwakili oleh Jembly Azmi, Adik Razak dan Heryak Ramlaha apabila memenangi set pertama 21-17.

Pahang B yang menurunkan Auzan Izzad Bah Piean, Rokie Jalpes dan Amidi Rahim cuba bangkit dalam set kedua, malangnya Kelantan terus menjadi melalui servis kencang tekongnya, Jembly Azmi, untuk menang  23-21.

Ketua Jurulatih, Awie Seman, memuji ketenangan anak buahnya yang beraksi mantap bangkit daripada ketinggalan dalam set kedua  untuk mengecewakan regu Pahang.

"Syukur dengan kejayaan berganda ini dan semua pemain telah beraksi dengan baik. Biarpun ketinggalan 14-18 dalam set kedua, namun pemain tidak mudah panik dan berjaya mengawal keadaan untuk menang straight set.

"Terima kasih kepada pihak pengurusan dan penyokong yang turun memberikan sokongan padu pagi ini,” katanya.

Terdahulu, regu Negeri Sembilan B menewaskan regu Pahang A  2-0 (21-19 dan 21-16) dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Keputusan penuh acara regu:

Johan: Kelantan B
Naib Johan: Pahang B
Ketiga: Negeri Sembilan B
Keempat: Pahang A
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen